Vaksin di luar negara boleh dapatkan sijil vaksinasi MySejahtera

 Vaksin di luar negara boleh dapatkan sijil vaksinasi MySejahtera

Dr. Adham meninjau keadaan Pusat Pemberian Vaksin di Taman Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU, 5 Sept — Rakyat Malaysia yang telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 di luar negara boleh mendapatkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dengan menunjukkan bukti pengambilan vaksin ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu juga bertujuan untuk mengesan penerima vaksin dari luar negara mengenai status mereka serta jenis vaksin yang telah diterima.

Katanya, dengan adanya sijil vaksinasi yang sudah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera, ia memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian.

“Bagi yang mendapatkan suntikan vaksin di luar negara, mereka perlu hadir ke PKD untuk memaklumkan status vaksinasi lengkap untuk menerima sijil vaksinasi MySejahtera.

“PKD akan memeriksa sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara itu untuk disahkan sebelum Jabatan Kesihatan Negeri akan menghantar permohonan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Putrajaya.

“CPRC akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon pintar pemohon,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin, di sini hari ini.

Dr. Adham berkata, langkah itu penting untuk mengesahkan sijil vaksinasi yang diterima di luar itu disahkan tulen dan jenis vaksin yang diterima itu diluluskan di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan menggunakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu kepada pelancong yang akan masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Langkawi pada 16 September ini.

Katanya, tindakan itu diambil setelah kerajaan memberi kebenaran sektor pelancongan kembali dibuka menerima kunjungan pengunjung asing di pulau Langkawi.

“Petugas Kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk antarabangsa di Langkawi bagi menyemak sijil vaksinasi mereka sama ada sah atau sebaliknya,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  7