• Sunday, 20 June 2021, 12:15 pm

Vaksin: Dahulukan wartawan langkah tepat – Wan Saiful

 Vaksin: Dahulukan wartawan langkah tepat – Wan Saiful

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata tindakan kerajaan memberikan suntikan vaksin lebih awal kepada wartawan adalah langkah yang tepat.

Datuk Wan Saiful

“Kita masih lagi dalam suasana menyambut Hari Wartawan Nasional yang jatuh kelmarin, 29 Mei 2021,” katanya dalan satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jasa wartawan dalam menyampaikan informasi terkini kepada rakyat memang tidak dapat dinafikan.

“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan maklumat penting akan dapat disebarluaskan ke seluruh negara dengan cepat dan pantas, termasuklah berita-berita mengenai wabak yang sedang melanda,” katanya.

Justeru, Wan Saiful mengucapkan syabas kepada YB Khairy Jamaluddin yang mengumumkan beberapa hari lalu bahawa beliau telah menerima nama hampir 6,000 orang pengamal media yang akan dimasukkan dalam senarai penerima vaksin dalam masa terdekat.

“Ini menunjukkan keprihatinan YB Khairy dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap kebajikan pengamal media yang setiap hari memainkan peranan penting memastikan rakyat mendapat maklumat tepat,” katanya.

Menurut beliau, ramai wartawan meredah pandemik demi mendapat berita yang betul untuk dilaporkan.

“Maka memang amat wajarlah pengiktirafan dan penghargaan diberikan kepada pengamal media dengan cara meletakkan mereka sebagai “frontliners” dan memberi keutamaan kepada mereka dalam mendapatkan vaksin,” katanya.

Wan Saiful berkata, sebagai tanda penghargaan kerajaan PN kepada para wartawan, dan sempena Hari Wartawan Nasional, beliau berharap proses memberikan vaksin kepada wartawan akan dapat diselesaikan dengan seberapa cepat yang boleh supaya rakan-rakan pengamal media dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih yakin.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *