Vaksin COVID19 : ATM beri bantuan koordinasi

 Vaksin COVID19 : ATM beri bantuan koordinasi

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik  pengurusan serta pengendalian vaksin COVID-19 yang bakal diterima esok.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan iring kawal pergerakan vaksin berkenaan dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.

“Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran/penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

“ATM juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warga ATM sebagai penerima vaksin berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata ini adalah berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif imuniti kelompok.

Sehubungan itu, melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

“Selain itu, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” kata Affendi.

 

 

 

 

–BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  +    =  83