Utusan, NST tidak dibenar buat liputan di Parlimen

 Utusan, NST tidak dibenar buat liputan di Parlimen

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Dua akhbar tempatan iaitu Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) tidak tersenarai sebagai media arus perdana untuk membuat liputan laporan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula Isnin ini.

Utusan Malaysia melaporkan, ketetapan tersebut merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah penubuhannya.

Ia berbeza dengan jemputan sebelum ini yang membenarkan Utusan Malaysia membuat liputan secara fizikal bersama 15 media lain.

Dalam jemputan media dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Rabu, sebanyak 16 agensi dibenarkan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai penyiar rasmi.

Media elektronik (TV) pula diwakili oleh TV3 dan Astro Awani.

Bagi akhbar Bahasa Melayu, ia diwakili Sinar Harian dan Berita Harian, sementara The Star dan The Sun mewakili akhbar Bahasa Inggeris.

Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban dan AFP masing-masing mewakili akhbar berbahasa Cina, Tamil dan media antarabangsa.

Media dalam talian yang turut dibenarkan membuat liputan secara fizikal di Parlimen ialah MalaysiaKini dan Malaysia Now.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober depan.

Tarikh itu telah dipinda berbanding 15 hari yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 6 hingga 30 September 2021.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =