Usia bukan penghalang sumbang tenaga demi negara

 Usia bukan penghalang sumbang tenaga demi negara

Maia Romie, 16, (kanan) bersama adiknya Irah Romie, 13, tidak pernah mengeluh penat ketika membantu barisan hadapan negara memerangi wabak COVID-19.

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Ketika remaja lain seusianya di rumah, dua beradik dari Shah Alam memilih untuk menjadi sukarelawan membantu barisan hadapan berperang dengan wabak pandemik COVID-19 sejak Mac 2020.

Maia Romie, 16, dan Irah Romie, 13, kini menjadi antara sukarelawan penting di gabungan NGO Kembara.

Lebih membanggakan, mereka menjadi tunggak utama projek makanan Hero Meals.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64 tahun ini, Wacana.my mendekati insan berhati mulia yang membantu negara berdepan wabak yang membelenggu dunia kini.

Maia berkata beliau bangga menjadi sebahagian dari barisan hadapan negara walaupun usahanya tidak didendang namun cukup untuk memotivasikan dirinya agar terus berjuang demi negara.

“Pada mulanya saya hanya menyumbangkan tenaga untuk membantu pasukan sukarelawan menyusun dan mengalihkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada pemohon,” katanya.

Setelah melihat kesungguhan dan keupayaan Maia menguruskan projek Botak Untuk Sabah, di mana gabungan badan bukan kerajaan yang dipimpin oleh William Cheah berjaya menghantar bantuan bekalan makanan, peralatan perubatan dan keperluan barisan hadapan ke Sabah.

Botak for Sabah menghantar bantuan tersebut melalui penerbangan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Datuk Seri Ismail Sabri yang pada ketika itu merupakan Menteri Pertahanan.

“Selepas projek Botak for Sabah, saya diberi kepercayaan untuk menguruskan projek Hero Meals, oleh Kembara Kitchen sehingga kini,” katanya.

Irah Romie sering membantu kakaknya menyiapkan pek makanan Hero Meals untuk barisan hadapan negara.

Projek kendalian Maia ini merupakan projek penghasilan produk makanan sedia dimasak, pembungkusan secara retort dan pengagihan kepada mangsa bencana di seluruh negara selain untuk petugas barisan hadapan di kawasan bencana.

Irah Romie, 13 membantu kakaknya membungkus makanan Hero Meals menggunakan teknologi ‘retort’ bagi memanjangkan jangka hayat serta mengekalkan kesegarannya

“Saya bertanggungjawab menguruskan aspek Pengurusan dan Perancangan Pengeluaran untuk Hero Meals,” katanya.

Menyedari beliau masih ‘mentah’ dalam aktiviti sukarelawan, Maia berkata beliau mahu terus berkhidmat kerana kerja sukarelawan amat dekat dihatinya.

“Dahulu saya hidup susah, tiada siapa yang tampil membantu kami sekeluarga ketika itu, namun tuhan ketemukan kami dengan sepasang suami isteri yang sudi membantu kami, bukan sahaja saya dan adik saya malah seluruh keluarga kami dibantu,” katanya.

Maia Romie dan adiknya Irah Romie dengan pek makanan Hero Meals yang mereka sediakan untuk barisan hadapan negara

Bermula dari kejadian tersebut Maia berazam untuk meneruskan kerja sukarelawan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Merdeka bagi saya adalah kebebasan dan peluang untuk membangunkan diri supaya dapat berkhidmat kepada negara,” katanya.

Maia mahu mengambil semangat Merdeka yang ada dalam dirinya dan membantu barisan hadapan negara walaupun beliau terlalu muda untuk bertugas secara rasmi sebagai barisan hadapan.

“Tugas dilakukan oleh barisan hadapan negara tidak dapat dilakukan oleh semua orang, jadi saya rasa amat penting saya sebagai warga Malaysia membantu untuk menyokong barisan hadapan dan meringankan sedikit beban tugas mereka,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  +    =  44