• Sunday, 20 June 2021, 3:24 pm

Usahawan kosmetik direman, disiasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

 Usahawan kosmetik direman, disiasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Oleh Suraya Ali

KAJANG, 11 Jun — Polis menahan pemilik akaun Instagram (IG) ‘safieyillias94’ yang juga pengasas produk kosmetik, bersama seorang rakannya, sekitar daerah Kajang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan mengesahkan perkara tersebut.

“Mereka sudah ditangkap semalam dan polis akan memohon perintah reman, hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Polis turut mengesahkan menerima satu laporan polis daripada seorang Pensyarah USIM berkenaan kejadian tersebut. “Pengadu telah melihat pautan Instagram live milik ‘safieyillias94’ yang merupakan hos bersama Instagram ID pipinatasha yang berpakaian menjolok mata.

“Instagram Live itu melibatkan (2) kanak-kanak bawah umur dengan Instagram ID hadiff_othman07 dan sy.ahrul5387,” katanya.

Sehubungan itu polis bertindak memburu dan menangkap suspek-suspek yang terlibat.

Siasatan dibuat di bawah Sek 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Sek 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut laporan kes, suspek telah melakukan perbuatan yang boleh ditakrifkan sebagai komunikasi lucah dan amang seksual kerana melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Mereka turut menunjukkan aksi penggunaan vape kepada kanak-kanak tersebut.

Semalam, satu rakaman video tular di laman Facebook dan Twitter memaparkan tindakan usahawan kosmetik tersebut bersama rakannya yang bersiaran langsung menerusi platform Instagram Live yang turut disertai oleh dua kanak-kanak lelaki dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.

Penularan rakaman tersebut menerima kecaman netizen yang menyifatkan tindakan dua individu berkenaan sebagai melampau dan biadap apabila berkelakuan tidak sopan termasuk membincangkan isu seksual bersama kanak-kanak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *