• Friday, 18 June 2021, 1:10 am

Usahawan jangan putus asa

 Usahawan jangan putus asa

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) diminta supaya tidak berputus asa dan terus mencari ikhtiar dalam menjayakan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bharu, Razrul Anwar Rusli berkata, usaha kerajaan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penting dan amat diperlukan bagi menamatkan penularan wabak COVID-19.

“Warga Johor Bharu khususnya harus mengambil serius langkah ini dan patuh kepada SOP yang ditetapkan,” katanya.

Namun begitu menurut Razrul, pihaknya tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada peniaga kecil dan sederhana.

“Ada beberapa kaedah yang mereka boleh pertimbangkan dan mendigitalkan perniagaan mereka adalah antara yang paling utama,” katanya.

Tambah Razrul, dengan konsep dunia tanpa sempadan dalam talian, pengusaha dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melangkaui batas daerah, negeri malah sehingga ke luar negara.

“Jangan takut dengan perubahan, cuba kaedah baru pasti akan berbeza hasilnya. Jika kita mengekalkan cara lama, kita akan ketinggalan kerana dunia teknologi kini semakin maju,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pengusaha IKS mendaftarkan perniagaan mereka di portal perniagaan iksmart.com.my.

“Portal ini mensasarkan pertumbuhan ekonomi warga Johor berikutan perubahan trend jual beli masa kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Said Mohd Nazlin Said Ismail memberitahu Wacana.my pelbagai aktiviti dan bantuan sokong disediakan oleh iksmart.com.my dan yang terkini, kursus membina laman web e-commerce bakal diadakan.

“Usahawan akan didedahkan kepada perniagaan e-commerce dari pembinaan laman web, pembelian, penerimaan pembayaran, pembelian stok, penghantaraan, khidmat pelanggan dan sebagainya,” katanya.

Ketika banyak pihak mengenakan cas yang tinggi untuk kursus seumpanya, iksmart.com.my dengan kerjasama Bestpay solutions dan Kementerian Belia dan Sukan hanya mengenakan yuran RM10 untuk kursus berkenaan.

“Kursus separuh hari itu akan berlangsung di Pusat Komuniti Bijak, Johor Bahru pada 26 Jun depan bermula 10 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut usahawan boleh menghubungi talian 07 230 6050.

Semalam, kerajaan mengumumkan SOP terbaru PKP3.0 yang menghadkan aktiviti sektor ekonomi dan sosial.

Rata-rata rakyat mengeluh kerana mendakwa punca pendapatan mereka terjejas.

Usaha oleh portal iksmart.com.my dilihat mampu memberi harapan dan semangat baru kepada penggiat IKS.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *