Usahawan anti-virus McAfee mati dalam penjara

 Usahawan anti-virus McAfee mati dalam penjara

Foto SCMP

BARCELONA, 25 Jun — Pengusaha perisian anti-virus John McAfee telah ditemui mati dalam sebuah penjara di sini, hanya beberapa jam setelah mahkamah Sepanyol bersetuju untuk mengekstradisi beliau ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan mengelak cukai.

Memetik dari laporan BBC, Jabatan kehakiman Catalan mengatakan bahawa doktor telah berusaha untuk menyelamatkan lelaki berusia 75 tahun itu, namun tidak berjaya.

Seorang tokoh kontroversial dalam dunia teknologi, syarikatnya mengeluarkan perisian anti-virus komersial pertama di dunia iaitu McAfee VirusScan.

McAfee VirusScan mencetuskan industri bernilai berbilion dolar di dalam dunia komputer, sebelum dijual kepada syarikat teknologi gergasi Intel dengan harga lebih dari $ 7.6bn (£ 4.7bn).

Pada Oktober 2020, John McAfee ditangkap di Sepanyol ketika hendak menaiki kapal terbang ke Turki, dan dituduh gagal mengemukakan penyata cukai selama empat tahun, walaupun memperoleh berjuta-juta dari pekerjaan perundingan, mata wang kripto serta penjualan hak untuk kisah hidupnya.

Jabatan keadilan AS mendakwa bahawa McAfee menghindari tanggungjawab cukai dengan memasukkan pendapatannya ke dalam akaun bank dan akaun pertukaran cryptocurrency atas nama-nama penama.

Walau bagaimanapun, peguamnya Nishay Sanan berpendapat dalam perbicaraan awal pada bulan ini bahawa tuduhan terhadap McAfee adalah didorong oleh politik, selain menyatakan McAfee akan menghabiskan sisa hidupnya di penjara jika kembali ke AS.

“Ini sekali lagi menunjukkan bahawa kerajaan AS ingin menghapuskan John McAfee. Beliau adalah seorang pejuang. Dan dalam fikiran setiap orang yang mengenalinya, dia akan selalu menjadi seorang pejuang,” katanya.

McAfee sendiri terkenal dengan syarikat yang ditubuh dan dinamakan mengguna namanya. Ianya sangat berjaya dan menjadikan beliau orang kaya.

Selain itu, beliau juga membantu mewujudkan industri perisian keselamatan komputer berbilion dolar dalam prosesnya.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *