Urus Covid-19 dengan perspektif baharu

 Urus Covid-19 dengan perspektif baharu

Oleh Mohd Kamal Ahmad, Pengarang Berita

RAMAI emosi apabila kerajaan mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari depan. Ramai netizen yang membantah tetapi ramai juga yang menulis komen setuju. Komuniti industri, perniagaan, perkhidmatan serta yang berkaitan terasa semakin panik kerana operasi mereka terjejas. Situasi ini berlaku apabila kes jangkitan COVID-19 di negara ini semakin sukar didatarkan dan  konsisten pada empat digit.

Kita telah dicengkam COVID-19 lebih setahun. Prestasi awal negara mengawal penularan virus itu  dianggap cemerlang. Malaysia diangkat negara contoh berhubung kejayaan menangani pandemik itu. Namun prestasi itu meredum apabila pandemik kembali menular ke seluruh negara sejurus selesai pilihan raya Negeri Sabah.

Kita pernah ‘mentertawakan’ Singapura kerana republik itu mencatatkan kes yang tinggi Ketika mana kita telah berjaya mengawalnya. Kita juga pernah mengatakan ‘padan muka’ pada Amerika apabila rakyat dan negara itu paling teruk dilanda COVID-19. Malah ramai beranggapan, pencapaian China menurunkan angka kes pandemik serta-merta sebagai ‘fake’.

Tetapi selepas melalui pelbagai situasi dan ‘memperlekeh’ orang lain, kenapa keadaan di Malaysia semakin memburuk? Apakah sebenarnya berlaku? Ke mana semangat ‘kita jaga kita’?  Kita mula selesa dan ambil mudah dengan pematuhan SOP serta iltizam lenyap tidak seperti kejujuran rakyat Vietnam mematuhi SOP. Jadi, apakah yang boleh ditafsirkan daripada yang tersurat dan tersirat ini?

Pelbagai pandangan dikongsi dengan Wacana.my. Antaranya, rakyat keliru dengan langkah kerajaan yang tidak konsisten. Contohnya, sekatan jalan raya dibuat tetapi penumpang LRT penuh. Sambutan perayaan dilarang tetapi sesiapa sahaja boleh berjumpa di kompleks dan pasar malam. Premis menjual pakaian dilarang beroperasi tetapi pelanggan boleh pula membelek kasut, jam, perabot dan lain-lain.

Pihak lain pula meminta kita terima sahaja kenyataan COVID-19 sama seperti penyakit lain seperti denggi, kanser, AIDS, malaria, demam, batuk mahupun selesema.  Apa yang perlu ialah teruskan kempen, kuatkuasakan SOP dan rawat bila sakit. Yang lain mendesak kerajaan tidak perlu lagi mewar-warkan angka harian kes COVID-19 seperti dilakukan Ketua Pengarah kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah. Sebabnya, inisiatif itu kini dianggap satu  momokan dan membosankan malah tidak pun dapat merubah keadaan. Ada yang mendakwa, itu ‘permainan angka’ dan ‘main wayang’. Yang lain dakwa, angka itu ‘fake’ dengan macam-macam konon dan andaian.

Apakah kerajaan dilihat rakyat sebagai berlebih-lebihan dalam menangani COVID-19 dan perlu fine tune dan tone down?

Lantaran itu, ada pihak mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) memonopoli keputusan berkaitan COVID-19. Benarkah dakwaan ini? Justeru, tiba masanya COVID-19 di negara ini disemak semula. Kerajaan tidak gagal dalam mengurus pandemik ini tetapi wajar lebih sensitif dan berstrategi dalam melakukan penambahbaikan dalam menguruskan pandemik  walaupun Lowy Institute di Sydney, Australia meletakkan Malaysia di tempat ke-16 daripada 98 negara berhubung kecekapan mengurus COVID-19.

Pandemik ini perlu diberi perspektif, persepsi dan pendekatan baharu. Ini bukan soal memperbaiki ranking tetapi apa yang lebih penting ialah memulihkan semula kehidupan rakyat dan memperkasakan semula ekonomi. Ini selari dengan matlamat pelbagai siri peruntukan berbilion ringgit yang dilancarkan. Susunlah semula pendekatan, rasional dan sikap dalam mengurus mahupun memilih strategi untuk mendatarkan penularannya.

Pastinya suntikan vaksin kelak bukan penamat kepada isu COVID-19. Ia mungkin satu cahaya di hujung terowong. Tetapi kita perlu lebih banyak cahaya supaya kehidupan rakyat kembali seperti sedia kala. Oleh itu, Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional yang sedang digubal Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik diharap memancarkan sinar lebih terang dan menjadi antara benteng dalam sistem pertahanan kesihatan negara. Ia adalah pelan komprehensif yang akan diaktifkan apabila muncul wabak berbahaya seperti COVID-19. Cuma, apa yang diharapkan ialah pelan itu bukan tertumpu soal pengurusan penularan wabak semata-mata tetapi mesti memasukan aspek pengurusan insani dan ekonomi supaya kedua-duanya tidak terjejas tetapi mampu meneruskan kelangsungan.

Ini termasuk ada jalan atau kaedah untuk rakyat meneruskan rutin harian walau wabak berlaku tanpa menggadaikan penguatkuasaan protokol, SOP dan keselamatan kesihatan negara. Keselamatan rakyat adalah keutamaan tertinggi dalam Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional. Ini benar dan tiada kompromi. Tetapi pada masa sama, kita perlu mengambil kira prestasi industri, keutuhan ekonomi, nasib pendidikan anak-anak, beban ibu bapa, masa depan penggiat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain sekatan amali (termasuk solat berjemaah dan Jumaat) ketika mana Kepercayaan Kepada Tuhan adalah prinsip pertama Rukun Negara serta banyak lagi perkara lain. Dengan mengambil kira semua aspek, barulah pelan ini benar-benar komprehensif.

Justeru, selain vaksin serta keberkesanan Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional, pencapaian dan prestasi kita menangani penularan pandemik COVID-19 tetap memerlukan serta bergantung kepada kefahaman, kesedaran dan komitmen semua pihak khususnya setiap rakyat manakala SOP perlu dikuatkuasakan secara tegas kepada semua golongan masyarakat dengan sama rata tanpa mengira darjat mahupun pangkat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

65  −  64  =