Universiti perubatan awam tidak wajibkan pelajar vaksin untuk duduki peperiksaan

 Universiti perubatan awam tidak wajibkan pelajar vaksin untuk duduki peperiksaan

foto oleh Supian Ahmad

SHAH ALAM, 17 Jun  — Susulan seorang pelajar yang mendakwa dihalang menduduki peperiksaan kerana belum menerima vaksin COVID-19, pihak Universiti Malaya (UM) menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Semakan Wacana.my ke beberapa universiti awam lain mendapati pelajar tidak diwajibkan mendapatkan vaksin untuk menduduki peperiksaan namun bagi pelajar yang terlibat dengan pembelajaran klinikal, mereka harus mematuhi syarat hospital berkenaan.

Jurucakap Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberitahu Wacana.my pelajar tidak wajib menerima vaksin bagi menduduki peperiksaan.

“Sebaliknya mereka wajib mematuhi SOP yang ditetapkan pihak UiTM termasuk penjarakkan sosial, memakai pelitup muka dan pelindung muka serta menggunakan sanitiser serta menggunakan alat tulis sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun jika pelajar tersebut perlu menghadiri sesi pembelajaran di hospital contohnya, pelajar tersebut harus mematuhi syarat dan SOP hospital berkenaan dan ia bukan lagi hanya melibatkan pihak universiti.

Sementara itu, jurucakap Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut mengesahkan perkara yang sama.

“Di UIA, pelajar perubatan yang mahu menduduki peperiksaan dan masuk ke dewan peperiksaan boleh seperti biasa walaupun belum divaksin,” katanya.

Bagaimanapun, semakan Wacana.my terhadap seorang petugas perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati semua petugas disana wajib mengambil vaksin COVID-19.

Apapun syarat dan SOP yang ditetapkan, masa depan pelajar perubatan yang disekat memasuki peperiksaan kerana belum menerima vaksin ini masih samar.

Pelajar perempuan berusia 22 tahun itu kelihatan keliru kerana beliau memahami kepentingan vaksin dan telah memohon untuk mengambilnya.

“Saya faham vaksin itu penting khususnya untuk pesakit dan petugas di wad hospital, tetapi saya hanya mahu menduduki peperiksaan di kampus, mengapa saya dihalang sedangkan tidak ada pesakit , orang awam atau petugas perubatan di dalam dewan peperiksaan itu,” katanya.

Wacana.my masih menunggu siasatan dan kenyataan rasmi dari UM berhubung perkara ini.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

69  −    =  65