• Sunday, 20 June 2021, 12:48 pm

Universiti berperanan lahirkan golongan intelek dan pemikir

 Universiti berperanan lahirkan golongan intelek dan pemikir

Pelajar UMK ketika Ops Hantar Pulang Pelajar di UMK –Kredit foto UMK

KOTA BHARU, 21 Mei — Isu pengangguran dalam kalangan graduan sekali lagi menjadi topik perdebatan hangat di media masa mahupun surat khabar.

Seperti biasa, universiti seringkali dipersalahkan kerana menawarkan kursus-kursus yang tidak relevan dengan tuntutan pasaran semasa.

Isu pengangguran dalam kalangan graduan semakin kronik lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19 masih belum reda. Pelbagai pandangan dilontarkan. Antaranya adalah kursus yang ditawarkan tidak relevan dengan pasaran semasa, graduan kurang kemahiran insaniah, graduan memilih pekerjaan dan sebagainya.

Ini seolah-olah graduan dan universiti yang menyebabkan polemik pengangguran ini. Sesungguhnya, pihak industri juga perlu memainkan peranan penting dalam menguruskan isu pengangguran dalam kalangan graduan ini. Sikap menuding jari kepada graduan dan universiti tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz, Universiti adalah bertujuan untuk melahirkan pemikir.

Peranan universiti adalah melatih seseorang itu berfikir dan seterusnya melahirkan individu yang intelek, mempunyai kemahiran memimpin dan sebagainya.

Paling tidak, sekurangnya-kurang ianya membantu seseorang itu menjadi seorang pemimpin dalam keluarga masing-masing kalau tidak pemimpin dalam kalangan masyarakat, organisasi dan sesebuah negara. Justeru, antara tujuan utama sebuah universiti adalah untuk melahirkan golongan pemikir yang seharusnya bersikap kritikal terhadap isu yang terkesan terhadap kehidupan mereka dan masyarakat sekeliling.

Namun begitu, terbeban dengan masalah kewangan dan tekanan oleh pelbagai pihak, universiti terpaksa akur dengan persekitaran dan desakan korporat.

Tujuan utama sekarang universiti dewasa ini seolah-olah hanya untuk melahirkan graduan yang memenuhi pasaran kerja semata-mata. Kehebatan dan keberkesanan sesebuah universiti diukur antara lain dengan KPI seperti kadar kebolehpasaran graduan yang seringkali disebarluas melalui pelbagai medium seperti media massa dan sebagainya.

Ini agak kurang tepat kerana universiti adalah bukan kilang untuk melahirkan pekerja sepertimana yang seringkali diluahkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, tokoh akademik yang tidak asing lagi di Malaysia mengenai sistem pendidikan universiti di Malaysia.

Peranan universiti adalah untuk memberi nilai dan pendidikan humanistik yang lebih banyak manfaatnya kepada masyarakat dan negara yang tidak boleh diukur dengan nombor. Terdapat banyak kes-kes rasuah dalam kalangan golongan yang berpendidikan tinggi kerana kurang nilai dan hanya sekadar menjadi pak turut kepada sesetengah pihak.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Henry Girouz, sarjana pendidikan barat, universiti dinilai berdasarkan pandangan pasaran dan keupayaan yang melahirkan graduan yang laris pasaran sehinggakan masyarakat lupa nilai dan sahsiah seorang graduan itu lagi penting untuk diketengahkan.

Universiti seharusnya berperanan untuk melahirkan graduan yang kritikal terhadap polisi pemerintah dan pihak berkuasa dan bukan sekadar berfikiran pasif dan hanya memfokuskan kepada penjanaan kekayaan semata-mata.

Dr Mohd Fadil Mohd Yusof adalah Pensyarah Kanan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Fakulti Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *