Sakura Band, Kowachee dan 4 artis baru bakal hangatkan industri muzik tempatan

 Sakura Band, Kowachee dan 4 artis baru bakal hangatkan industri muzik tempatan

Oleh Zuan Azmi 

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Lima artis iaitu Sakura Band, Kowachee, Alfie Zumi, Rief Daniel dan kumpulan MADAM telah diperkenalkan oleh syarikat rakaman terkemuka, Universal Music Malaysia dalam satu sesi ramah mesra bersama media yang berlangsung di Bsync Studio semalam.

Kesemua artis mereka ini sudah hadir dengan single masing-masing yang dilancarkan sejak tahun lalu lagi. Namun, disebabkan kekangan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu, segala perancangan dan percaturan perjalanan seni mereka juga tertangguh.

Pengurus Pemasaran Universal Music Malaysia (Domestic), Anne Mukhtar berkata, majlis suai kenal yang diadakan bertujuan untuk memperkenalkan lagi lagu yang sudah dilancarkan selain memberi peluang kepada kesemua penyanyi untuk menonjolkan personaliti dan bakat mereka kepada khalayak ramai.

“Tujuan kami mengadakan sesi ramah mesra bersama media adalah untuk mendapatkan sambutan dan ‘feel’ yang berbeza selain dari mengeratkan lagi hubungan antara artis dan juga pihak media. Kita bukan sahaja nak perkenalkan single mereka, tapi dalam masa sama nak berkongsi kepada rakan media secara lebih dekat bakat dan keunikan dimiliki setiap daripada mereka.”

Putri Armani, atau lebih dikenali sebagai Kowachee, satu nama yang tidak asing dalam dunia hiburan. Penghibur kecil dan berbakat ini amat teruja untuk menyambut tahun 2021 dengan pelancaran single debutnya, Pap Tapo yang dihasilkan dan ditulis oleh produser muzik terkenal di dunia, Bryan B bersama Sophia Liana; salah seorang ahli kumpulan De Fam. Single ini baru sahaja dilancarkan pada 19 Mac lalu. Baru berusia 12 tahun, Kowachee adalah artis rakaman paling muda yang pernah ditandatangani oleh Def Jam Malaysia.

Kowachee

 

Sakura Band pula yang dianggotai oleh Melly Matius (Mell) Ali, Haniff dan Akai kali ini mempertaruhkan lagu Monopoli pada 27 November tahun lalu selepas agak lama berehat. Lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh ahli-ahli kumpulan Sakura Band sendiri ini, mendapat sentuhan Taja selaku penerbit.

Menurut mereka, Monopoli menceritakan tentang perasaan seseorang individu yang mencurahkan sepenuh hidupnya ke atas perkara atau orang yang disayangi.

Seorang lagi penyanyi muda yang baru melancarkan single pada 26 Februari lalu adalah Rief Daniel  menerusi lagu berjudul Aku Solo hasil ciptaan sepenuhnya oleh dirinya sendiri dengan sentuhan bersama Yonnyboii. Rief mengatakan penghasilan lagu ini bermula apabila dia berkongsi hal peribadinya bersama Yonnyboii.

Rief Daniel

Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang tidak mempunyai teman di sampingnya dan berasa sunyi kerana tiada sokongan and motivasi untuk berjuang dalam hidup untuk mengejar cita-cita.

Selain itu, Nur Muhammad Shazrul Alfie Bin Norazha atau lebih dikenali sebagai Alfie Zumi turut membawakan single keduanya Si Cantik yang baru sahaja dilancarkan pada 5 Mac lalu.

Aflie Zumi

Alfie yang menempa nama melalui Spinnup, platform edaran muzik secara digital di bawah naungan Universal Music Group memulakan perjalanannya di dalam industri sebagai penari latar untuk Stacy, Haqiem Rusli, Altimet, Ruffedge dan ramai lagi. Selain itu, dia juga pernah melibatkan diri dalam banyak persembahan di pentas yang berprestij seperti Mentor, Anugerah MeleTOP Era, Dansa Dan Sing dan banyak lagi.

“Jadi pada dasarnya, Si Cantik adalah untuk mengingatkan semua wanita agar tidak memandang rendah pada diri sendiri,” kata Alfie yang juga pernah menyertai Rapstar ERA tahun lalu.

Kumpulan MADAM yang dianggotai empat anak muda terdiri daripada Putera Muhammad selaku vokalis, Azuan selaku pemain bass, Herman selaku pemain dram dan Fadhil selaku pemain gitar muncul dengan single sulung mereka yang berjudul LUKA pada Julai tahun lalu yang dicipta sepenuhnya oleh komposer Zimi.

Kumpulan MADAM

Menurut mereka, “lagu Luka berkisahkan tentang seorang jejaka yang sedang berusaha untuk meneruskan kehidupan setelah ditinggalkan kekasihnya dan cuba melupakan setiap kenangan mereka bersama apatah lagi kini bekas kekasihnya telah pun bahagia dengan orang lain”.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  7  =  2