UnIPSAS menjadi universiti swasta Islam pertama di Pantai Timur

 UnIPSAS menjadi universiti swasta Islam pertama di Pantai Timur

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) pada sidang media sempena naik taraf KUIPSAS kepada universiti penuh di bilik gerakan Majlis Perbandaran Bentong.

BENTONG, 2 Disember 2021 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) kini menjadi universiti swasta Islam pertama di Pantai Timur dengan menyediakan pelbagai program pengajian.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perdaftaran UnIPSAS secara rasmi semalam amat bermakna buat rakyat Pahang dan merupakan kejayaan semua pihak di negeri ini.


“Peranan institusi Diraja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada 1996, Al Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan menjadi Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pertama pada 2016.


“Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi semalam lebih bermakna kerana pada tahun ini UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.


Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang mempersembahkan Watikah Perakuan Naik Taraf KUIPSAS kepada UnIPSAS.


Majlis persembahan watikah tersebut juga turut disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga merupakan Canselor universiti tersebut.


Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya iaitu Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn Bhd.


Katanya, penyaluran geran tahunan oleh kerajaan negeri telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik.


Beliau berkata, pada masa ini UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian peringkat asasi, diploma, sarjana muda dan sarjana di bawah tiga fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik serta Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi.


Menurutnya, beberapa program pengajian baharu peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah akan ditawarkan dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi.


“Selepas dinobatkan sebagai universiti Islam pertama di negeri ini dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas melalui hala tuju yang jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidikan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran lapan peratus kadar enrolmen sarjana dan doktor falsafah pada 2025,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  3