Umum keluar parti gimik politik murahan – Mohd Rafiq

MELAKA 18 Nov – Tindakan sekumpulan ahli Bersatu yang mengumumkan keluar parti dan menarik sokongan terhadap parti hanya gimik politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pengumuman yang dibuat itu sering berlaku setiap kali menjelang pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

Katanya, taktik itu sekali gus membuatkan rakyat muak dan jemu dengan agenda politik dilakukan pihak tertentu.

“Saya kira acara keluar parti ini akan datang setiap kali PRU, PRN atau PRK dan selalunya 500 ke 1,000 orang akan kluar parti sedangkan yang serah borang dan hadir cuma dua tiga orang sahaja.

“Ini hanya gimik politik murahan yang rakyat tidak mahu tengok dan jemu, meskipun saya tau ada yang keluar tetapi jumlahnya tidak seramai itu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan 13 Ikrar Rafiq Untuk Warga Telok Mas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga calon PN di Telok Mas berkata tindakan dilakukan kumpulan berkenaan tidak mengganggu proses parti untuk menghadapi PRN dan tumpuan parti untuk mendapatkan mandat rakyat.

Menerusi laporan media semalam, UMNO Bahagian Tangga Batu menerima borang keahlian susulan 95 ahli parti Bersatu bertindak keluar parti selepas mendakwa kecewa dengan cara pimpinan Ketua Cawangan Kampung Hulu Sungai Udang.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq mengumumkan 13 ikrar yang menjanjikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat termasuk memperkasa pelancongan dan ekonomi serta menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah percuma di kawasan Telok Mas.

“Saya ada ‘track record’ dan bukan baru hendak buat tetapi sudah buat sebelum ini seperti hari bertemu rakyat, gerai prihatin rakyat dan kebajikan peniaga.

“Malah ikrar ini juga adalah untuk semua masyarakat tidak kira kaum dan agama kerana 11 daripada 13 adalah untuk pelbagai kaum.

“Saya berada di sini bukan hanya untuk orang Islam sahaja malah untuk semua,” katanya.

Azlan Abdollah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  2  =