UMNO perlu tunaikan janji, kembalikan hak keistimewaan Sabah – Anifah Aman

 UMNO perlu tunaikan janji, kembalikan hak keistimewaan Sabah – Anifah Aman

Datuk Seri Anifah Aman

KUALA LUMPUR, 15 Sept — UMNO perlu segera menunaikan janji untuk mengembalikan Hak Keistimewaan Negeri Sabah seperti yang temaktub didalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman berkata tiada sebab perkara tersebut dilengah-lengahkan memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah membuat janji tersebut dan mengatakan bahwa apa sahaja kekangan yang timbul akan diatasi demi memastikan ianya terlaksana.

Anifah berkata, beliau mewakili seluruh rakyat Sabah menuntut Perdana Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO untuk memenuhi janji yang dibuat dan segera melaksanakan MA63.

““Presiden UMNO telah berjanji semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tahun lepas kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan MA63 100 peratus.

“Tiada lagi sebab untuk melengah-lengahkan atau memberi pelbagai alasan memandangkan parti (UMNO) itu sudah kembali berkuasa.

“Dari dulu sehingga kini saya amat menghormati Ahmad Zahid dan percaya beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mengotakan janji,” katanya dalam satu kenyataan.

Anifah juga menuntut kerajaan pusat di bawah kepimpinan UMNO supaya tidak lagi menubuhkan jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk mengkaji hal berkaitan MA63.

Sebaliknya beliau berkata, rakyat kini hanya ingin melihat sama ada Ahmad Zahid dan UMNO memiliki integriti untuk memenuhi ‘janji yang bukan sembarang janji’ tersebut.

“Kita tidak perlukan lagi jawatankuasa ditubuhkan. Ketika saya didalam kerajaan, perkara ini sudah sampai ke peringkat Kabinet pun.

“Lagipun, sekarang kami di Sabah perasan asal tukar sahaja kerajaan sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan untuk mengkaji MA63 dan sebagainya.

“Beliau sudah berjanji MA63 akan dilaksanakan 100 peratus apabila Umno menawan Putrajaya semula. Kotakan lah janji tersebut. Rakyat Sabah sudah muak dengan janji-janji kosong,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

82  −    =  79