UMNO adakan kerjasama dengan PAS pada PRN Melaka

 UMNO adakan kerjasama dengan PAS pada PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT malam ini.

“Mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan Pas berpandukan kepada prinsip bahawa Pas menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn hari ini.

Bagaimanapun mesyuarat MKT masih belum memutuskan mengenai pengagihan kerusi dan calon PRN Melaka.

Pada masa sama beliau berkata, mesyuarat MKT juga memutuskan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Pengarah PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 8 November, hari undi awal pada 16 November ini dan hari mengundi pada 20 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *