UMK bantu OKU jadi usahawan ayam kampung kacuk

 UMK bantu OKU jadi usahawan ayam kampung kacuk

Peserta OKU menunjukkan anak ayam kampung kacuk menerusi projek bimbingan UMK.

Oleh Ama Alias

BACHOK, 11 Mei – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak pernah disisihkan sebaliknya memberi peluang untuk menjana pendapatan dengan titik peluh sendiri meskipun ada di antara mereka yang mengalami masalah fizikal seperti kehilangan anggota akibat kemalangan mahupun cacat sejak lahir.

Berpegang kepada prinsip itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memilih sembilan peserta OKU daripada kalangan penghuni Pusat Orang Kurang Upaya (PROKA) Kandis di sini bagi menjayakan projek INSPEK JIWA ASNAF 2021.

Projek itu dilaksanakan menerusi sumbangan dana zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memperuntukkan RM99,800 bagi tempoh masa setahun bermula Februari lalu.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, projek itu membabitkan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UMK Kampus Kota, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) UMK dan Majlis Pemulihan Negeri Kelantan (MPNK).

Sulaiman menunjukkan anak ayam kampung kacuk yang diternak.

Katanya, projek itu membabitkan ternakan ayam kampung kacukan antara ayam kampung dan ayam pedaging yang mengambil masa 5 minggu untuk dijual dan mendapat permintaan tinggi pasaran.

“Kita pilih ternakan ayam kampung kacuk kerana mahu sektor penternakan sebagai cabang baru kemahiran OKU, selain permintaan tinggi terhadap ternakan ini yang boleh memaksiumkan pendapatan OKU,” katanya.

Beliau berkata, selain membantu persediaan modal projek, UMK juga menyediakan khidmat latihan dan kaedah penjagaan ayam kepada OKU dengan meletakkan 10 fasilitator di kalangan pelajar dan pensyarah UMK sepanjang projek berlangsung.

Pihaknya menyasarkan daripada tiga reban dibina yang menempatkan 1,500 anak ayam mampu dibiakkan kepada 12,000 ayam sepanjang projek dijalankan.

Seorang peserta OKU, Sulaiman Setapa, 61 yang mengalami kaki kudung akibat kemalangan pada 1978, gembira terbabit dalam projek ternakan ayam kampung kacuk.

Ini kerana, sebelum ini dia menjalankan kerja pembuatan perabot seperti membuat kerusi, meja di PROKA, namun ini kali pertama dia menyertai bidang ternakan.

Sebahagian 1,500 anak ayam kampung kacuk yang diternak sembilan peserta OKU.

“Rasa hilang tekanan dapat bermain dengan ‘benda hidup’, seronok tengok ayam membesar, malah sebenarnya saya dah lama berminat dengan bidang ternakan, namun tiada peluang dan modal kerana bergantung hanya pada pekerjaan di PROKA, maklum saya keadaan fizikal saya terbatas untuk bekerja di luar,” katanya.

Bekas mangsa kemalangan, Wan Mohd Faizal Wan Fairulni,35, pula berpendapat, menternak ayam kampung kacukan tidak sukar malah mereka senang menjalankan projek itu sebagai pendapatan tambahan.

“Setiap kumpulan ada tiga orang, seorang jaga makanan dan minuman ternakan, seorang pantau kesihatan ayam dan seorang lagi jaga kebersihan reban, malah kami dibantu pelajar UMK,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

89  −  82  =