Ultras Malaya kutuk program naturalisasi pemain

 Ultras Malaya kutuk program naturalisasi pemain

DUBAI 03 JUN 2021. Pemain Malaysia, Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) dihalang oleh pemain UAE dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel. WMY/Adli Ghazali

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat dari rakyat Malaysia apabila digesa untuk membubarkan program naturalisasi yang dilihat tidak memberi sebarang keputusan memberangsangkan kepada skuad kebangsaaan.

Kemarahan rakyat Malaysia mula bergelora di media sosial selepas kekalahan skuad Harimau Malaya kepada UAE (0-4) dan Vietnam (1-2) pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sekali gus mempertikaikan keberkesanan program naturalisasi berkenaan.

Kini muncul pula kumpulan penyokong tegar Harimau Malaya atau pemain ke-12 iaitu Ultras Malaya yang turut menolak keras program itu.

Menerusi kenyataan Ultras Malaya di Facebook, kumpulan berkenaan menolak polisi atau program yang memberi pemain bukan berdarah Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan selain mengatakan ianya adalah maruah negara yang tidak boleh dibuat main.

“Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia wajib diwakili oleh pemain-pemain yang mempunyai darah Malaysia sahaja, bermaksud pemain yang darahnya tumpah di tanah Malaysia dan juga yang mempunyai hubung kait darah dari keturunan Malaysia (ibu, bapa, nenek, datuk, dan lain-lain).

“Segala bentuk polisi atau program yang sedang dijalankan untuk membawa masuk pemain bukan berdarah Malaysia ke dalam skuad kebangsaan adalah tidak perlu kerana ia tidak memberikan manfaat kepada bola sepak Malaysia dari segi apa pun,” kata Ultras Malaya.

Walaupun skuad Harimau Malaya diperkuat dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh, Malaysia masih lagi dimalukan menerusi kekalahan di tangan Kuwait (1-4) dan Bahrain (0-2) dalam dua aksi persahabatan.

Menurut Ultras Malaya, FAM seolah mahu menutup kelemahan sistem pembangunan badan induk itu dengan memperkenalkan program naturalisasi.

“Ia dilihat sebagai satu usaha jalan pintas untuk menutup kelemahan sistem bola sepak Malaysia di peringkat pembangunan pemain akar umbi dan kelemahan sistem dan operasi pasukan di Liga Malaysia yang tidak dapat melahirkan pemain yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, Asia mahupun dunia.

“Sebaliknya hanya berada di takuk peringkat ASEAN sahaja, itu pun terkial-kial. Kita mempunyai bakat yang hebat, namun bakat yang hebat tersebut tidak diasah dengan baik melalui sistem yang baik dan operasi pasukan yang cemerlang.

“Kami juga berpendapat, jika seseorang pemain bukan berdarah Malaysia memerlukan tempoh menunggu lima tahun bermain di liga tempatan, adalah lebih afdal jika tempoh masa lima tahun itu digunakan untuk mengasah, membangun dan memperkasakan bakat tempatan daripada kita menumpukan perhatian kepada pemain bukan berdarah Malaysia,” katanya.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut menggesa FAM memperbaiki ekosistem bola sepak tempatan secara keseluruhan termasuk isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *