Ujian saringan COVID-19 meningkat

 Ujian saringan COVID-19 meningkat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan trend peningkatan bagi keseluruhan ujian kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR), Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi profesional dan kendiri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ketara itu dapat dilihat sehingga Isnin lalu iaitu sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) dijalankan dengan 107,421 (14.5 peratus) dikesan positif COVID-19.

Katanya, semua keputusan ujian COVID-19 itu amat penting untuk dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan COVID-19 negara yang dilaporkan selain menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai akan kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-COV-2.

“Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian pengesanan SARS-COV-2 di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, namun dengan kerjasama orang ramai melakukan ujian saringan kendiri, jumlah ini dapat terus ditingkatkan.

“Justeru, KKM meminta semua pihak supaya berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 supaya masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan COVID-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat terutamanya yang bergejala atau berisiko tinggi termasuk kontak rapat untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 sama ada secara kendiri serta melaporkannya pada aplikasi MySejahtera.

“Pengesanan awal kes COVID-19 dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) ini boleh membantu individu untuk memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat sekali gus mengurangkan kes kematian diluar fasiliti kesihatan (BID).

“Selain ujian yang mudah dan pantas, kit ujian kendiri ini mampu mempercepatkan proses individu yang positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutamanya golongan rentan dapat dikurangkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, individu yang ingin bercuti ke Langkawi wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan dan langkah itu dapat memastikan supaya Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan yang selamat kepada semua pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

87  +    =  89