• Monday, 21 June 2021, 3:27 am

Ujian dalam pendemik

 Ujian dalam pendemik

 

Oleh Amerul Muner Mohammad

PERINTAH  Kawalan Pergerakan pertama (PKP1.0) dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020 bagi membendung COVID-19 yang menjadi pandemik di seluruh dunia. Setakat 7 Jun lalu, 173 juta orang telah dijangkiti COVID-19 di serata dunia dan lebih tiga juta telah menjadi korban kepada virus tersebut. Di Malaysia sahaja sebanyak 622,086 kes telah disahkan manakala 3,378 orang telah meninggal dunia.

Malaysia kini berada di dalam PKP 3.0 dengan Perintah Darurat dikuatkuasakan. Program Vaksinasi Kebangsaan sedang digiat dijalankan, namun jumlah jangkitan baharu dan korban masih berada di tahap yang membimbangkan.

Malaysia sekarang berada di dalam keadaan ‘berperang’, di mana kesemua rakyat terkesan samada secara langsung ataupun tidak dengan COVID-19 dan kerajaan menggunakan segala sumber dan kuasa untuk memenangi ‘peperangan’ ini. Tujuan utama kerajaan adalah untuk mempertahankan nyawa rakyat dan kestabilan negara. Di samping pengurusan perkhidmatan kesihatan yang kini beroperasi di tahap maksima, sektor ekonomi juga amat terkesan.


COVID-19 menguji setiap aspek dalam kehidupan termasuk pentadbiran negara, kestabilan politik, kesiapsiagaan jentera dan anggota kerajaan, amalan budaya dan gaya hidup, disiplin diri, kesatuan ahli masyarakat dan lain-lain. Serangan virus ini adalah masalah global. Hubungan antarabangsa juga isu utama dalam menangani gejala yang tidak membezakan negara maju, membangun atau negara dunia ketiga.


Apabila negara dilanda malapetaka, kerajaan memainkan peranan utama untuk memastikan setiap tindakan yang perlu bagi mengatasi COVID-19 dapat dilaksanakan dengan sempurna. Majlis Keselamatan Negara menjadi pusat tanggungjawab utama dalam pengurusan bencana. Malaysia mengambil langkah drastik dengan mengisytiharkan darurat, di mana Parlimen digantung dan kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan peraturan dan undang-undang yang diperlukan untuk menghadapi ancaman virus tersebut. Kerajaan seharusnya menggunakan Ordinans Darurat (Kuasa-kuasa Khas) 2021 untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan yang perlu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Masa tempoh pendamik ini, banyak peraturan baharu atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diwujudkan oleh pihak berkuasa. Dalam penyediaan SOP dan lain-lain polisi yang berkaitan, pihak kerajaan harus memastikan kepentingan rakyat diutamakan. Peraturan-peraturan yang disediakan juga haruslah jelas dan mudah difahami, bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga kepada pihak-pihak yang akan menguatkuasakan peraturan-peraturan tersebut di lapangan. Tiada guna sekiranya peraturan yang diwujudkan tidak dapat dilaksanakan secara seragam oleh badan-badan penguatkuasaan.

SOP atau peraturan yang sering berubah akan menyebabkan orang ramai sukar untuk mematuhi. Penguatkuasaan haruslah dijalankan dengan tegas, sama rata, tanpa perbezaan mengikut kedudukan atau pangkat orang yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Malah, orang kenamaan dan golongan berpengaruh sepatutnya dikenakan tindakan yang lebih tegas kerana mereka sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada ahli masyarakat yang lain.

Pandemik ini juga menguji kesiapsiagaan badan-badan perkhidmatan kerajaan. Kita pasti setiap agensi kerajaan mempunyai pelan bertindak apabila berlaku bencana. Majlis Keselamatan Negara menyediakan pelbagai arahan sebagai garis panduan untuk digunapakai di dalam pelbagai senario bagi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. Bagi pengoperasian, arahan-arahan tersebut perlu diolah mengikut keadaan dan keperluan bagi menghadapi ancaman semasa.

Sudah pasti data dan input dari semua pihak yang terlibat diambil kira bagi menghasilkan peraturan yang harus dipatuhi oleh semua golongan masyarakat. Para pegawai pentadbir yang terlibat dalam pembikinan polisi adalah golongan pakar yang seharusnya memberi nasihat kepada pemimipin-pemimpin kerajaan yang berkaitan. Kekaburan dalam perlaksanaan peraturan tidak sepatutnya berlaku. Polisi dan peraturan yang baik tidak seharusnya diubah dalam masa yang terlalu dekat.


Telah lebih dari setahun kita menghadapi pandemik COVID-19, namun masih terdapat rungutan mengenai peraturan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Lumrah manusia, tidak mahu dikongkong kebebasan, namun sekiranya kebebasan tersebut membawa kepada keburukan, ia harus disekat. Kerajaan perlu mengimbang antara nyawa dan kehidupan. Dalam keadaan sekarang, kebebasan pergerakan boleh mengancam nyawa, oleh itu kebebasan ini harus dihadkan demi kepentingan semua. Sebarang pelanggaran harus diambil tindakan tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Di samping tindakan undang-undang, pengorbanan semua rakyat untuk mengubah gaya dan budaya kehidupan amat dituntut. Pemimpin-pemimpin masyarakat dan golongan yang berpengaruh perlu menunjuk contoh yang baik untuk diikuti oleh ahli masyarakat.


Pandemik ini juga menguji sejauhmanakah kita bersedia untuk membantu antara satu sama lain bagi meneruskan kehidupan? Ramai yang terkesan dari segi ekonomi apabila hilang pendapatan akibat daripada Covid-19. Walaupun antara tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memastikan tiada rakyat yang kelaparan, namun setiap insan perlu sama-sama menggalas tugas ini kerana ia adalah tanggungjawab insan sejagat tanpa mengira bangsa, agama atau status dalam masyarakat.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Keadaan semasa menguji kita untuk mengurangkan jurang antara yang berada dan yang kurang bernasib baik. Golongan T20 harus membantu untuk memastikan M40 tidak menggelungsur menjadi B40 dan seterusnya miskin tegar mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sekiranya sistem ekonomi kita gagal ditadbir dengan baik, keseluruhan negara akan menerima musibah tanpa mengira kategori apa yang mereka berada sekarang.

Ujian yang diberikan oleh Yang Maha Esa ini akan menjadikan kita lebih kuat sekiranya kita berjaya menghadapinya dengan baik. Kita hanya akan berjaya sekiranya semua bertindak mengikut landasan agama dan kemanusian tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Amerul Muner Mohammad

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *