Ugut bunuh penyokong Ain Husniza, graduan ditahan polis

 Ugut bunuh penyokong Ain Husniza, graduan ditahan polis

PUTRAJAYA, 23 Jun — Baru tamat pengajian di United Kingdom, seorang graduan ditahan polis kerana disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang wanita yang menyatakan sokongannya kepada pelajar Tingkatan 5, Ain Husniza Saiful Nizam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berusia 20-an yang berasal dari Kulim, Kedah itu telah ditahan dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan polis.

“Suspek baharu sahaja menamatkan pengajian di sebuah universiti di United Kingdom itu telah diambil keterangan oleh polis berkaitan posting berbaur ancaman bunuh dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Asmadi berkata, Ain Husniza juga telah dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan oleh pengadu pada 10 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Menurut beliau, ianya berpunca daripada komen wanita berkenaan berhubung dakwaan  gurauan rogol  guru pendidikan jasmani membabitkan Ain Husniza yang dibalas oleh suspek seperti ugutan melalui media sosial.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ain Husniza sebelum ini menjadi perhatian selepas mendedahkan mengenai tindakan gurunya membuat jenaka lucah.

Kes tersebut masih disiasat oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh selepas beberapa individu termasuk pelajar sekelas serta guru yang dikaitkan dengan insiden itu selesai diambil keterangan pada Mei lalu.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

47  +    =  52