Udang galah wujudkan rantaian bisnes akar umbi

 Udang galah wujudkan rantaian bisnes akar umbi

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Udang galah mampu mewujudkan rantaian bisnes peringkat akar umbi penduduk luar bandar sekiranya kerajaan melaksanakan program pembangunan sumber dan menguatkuasakan akta atau enakmen untuk melindungi habitat serta membanteras kegiatan jenayah alam sekitar terhadap spesies tersebut.

Hasli (kanan) selaku wakil Malaysia bagi program mancing amal di Rasau Jaya, Pontianak dekat Kalimantan Barat, Indonesia

Unjuran ini bersandarkan potensi yang boleh dijana oleh lebih 100,000 kaki pancing udang yang rata-rata membelanjakan sehingga RM300 seorang setiap kali turun ke sungai untuk memancing pada jarak lebih 200 kilometer. Dianggarkan, mereka menggunakan lebih 15,000 bot sewa atau milik persendirian di seluruh negara.

Kelab Pemancing Udang Galah Malaysia (KPUGM) umpamanya, mempunyai lebih 65,000 ahli termasuk dari Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura. Banyak lagi kelab seumpama ini wujud untuk menaungi ribuan kaki pancing peringkat syarikat, negeri mahupun nasional.

Dengan hampir semua lubuk terletak di sungai luar bandar, rantaian ekonomi memancing udang antara lain melibatkan sewaan bot, jualan petrol dan umpan, sewaan bilik penginapan, kedai makanan, khidmat tekong atau juru pandu mahupun pengusaha bengkel baik pulih bot dan enjin.

Bisnes lain dalam rantaian itu ialah kemunculan pembekal benih udang dan penternak udang dewasa untuk pasaran komersial, memproses makanan ternakan, memproses makanan sejuk beku berasaskan udang galah, penyediaan logistik dan lain-lain. Kini muncul pula bisnes baru – jadi penganjur pertandingan memancing, Youtuber, videographer, juru kamera dan grafik selain Vlogger atau aktivis media sosial yang juga menjana pendapatan tertentu menerusi kegiatan hobi ini.

“Semua ini boleh dilakukan atau disediakan oleh penduduk setempat khususnya orang kampung dan anak-anak mudanya yang tinggal di sekitar sungai. Cuma kedai pancing dan aksesori mungkin berada di pekan atau bandar,” kata Hasli Mat Seman, admin KPUGM kepada Wacana.my.

Hasli dengan jenggo yang diperoleh ketika memancing di Sungai Temerloh, Pahang

Beliau berkata, semua pemancing akan sependapat supaya kerajaan menerusi agensinya seperti Jabatan Perikanan memberi fokus untuk menambah stok atau populasi dengan melepaskan lebih banyak benih udang ke sungai seluruh negara. Langkah ini bagi meningkatkan kehadiran pemancing sekali gus menjana lebih pendapatan mereka yang berada dalam rantaian bisnes hobi itu.

“KPUGM juga berharap hukuman lebih berat dikenakan kepada penjenayah alam yang meracun sungai seperti menuba menggunakan renjatan elektrik bagi merompak khazanah sungai. Tindakan tegas ini sangat wajar bagi memberi kesedaran kepada yang lain,” katanya sambil memberitahu pihak kelab menerima sehingga tiga aduan jenayah menuba atau meracun udang setahun.

Berdasarkan pengalaman menjadi pemancing tegar lebih 20 tahun, Hasli tidak pasti kalau ada sungai yang sudah pupus udang galahnya.

“Yang pasti memang sangat banyak sungai yang semakin kurang populasi udang galahnya tidak seperti 10 tahun lalu. Ini termasuk Sungai Kelantan yang acap saya turun memancing di sana,” katanya.

KPUGM juga meminta pemain industri lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sisa dan buangan toksik ke longkang yang seterusnya mengalir ke anak sungai bagi mengelakkan pencemaran sungai yang akan membunuh hidupan di dalamnya termasuk udang galah.

Kepesatan hobi memancing udang galah menjadi satu industri juga akan mendorong semua pihak meningkat komitmen serta kesedaran untuk menjaga kelestarian alam sekitar termasuk menerusi kempen Cintai Sungai Kita membabitkan generasi muda.

“Di KPUGM, kami akan memberi galakkan kepada pemancing yang baru dengan cara  berkongsi cerita, pengalaman  dan menjawab segala pertanyaan berkaitan udang galah ataupun aspek peralatan sesuai yang diperlukan.

“Bagi saya, saya tidaklah pakar cuma berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan setakat yang saya tahu. Selebihnya bergantung kepada ketekunan pemancing itu sendiri. Pendirian saya cuma satu – rezeki tidak akan hadir tanpa diiringi ilmu dan pengalaman,” katanya.

KPUGM juga melancarkan kempen supaya pemancing melepaskan induk udang yang bertelur untuk menjaga populasi selain bekerjasama dengan Jabatan Perikanan melepaskan benih udang ke sungai dengan matlamat dapat menambahbaik hasil sungai.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

25  −  23  =