Ubah strategi perniagaan untuk terus berdaya saing : pakar ekonomi

 Ubah strategi perniagaan untuk terus berdaya saing : pakar ekonomi

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Peniaga kini perlu mengubah strategi perniagaan mereka untuk terus berdaya saing di tengah-tengah limpahan bantuan yang diberikan kerajaan, kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Beliau berkata ekonomi akan pulih kembali pada separuh kedua tahun ini dan peniaga seharusnya mula mempelbagai perniagaan masing-masing untuk terus bertahan dalam jangka panjang semasa pandemik COVID-19.

“Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada Rabu hanyalah untuk memberikan langkah-langkah penahan yang bersifat sementara.

“Oleh itu, apa yang perlu mereka lakukan adalah menggembleng semua sumber yang ada termasuk bantuan kerajaan agar perniagaan dapat terus bergerak maju,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata perniagaan mungkin perlu menceburkan diri dalam produk baharu, pasaran baharu atau menjalin perkongsian dalam sistem eko-​​perniagaan.

“Perniagaan mesti mampu mengatasi aliran tunai yang terhad dan pada masa sama dapat bergerak ke bidang atau pasaran baharu,” tambahnya.

PEMERKASA bernilai RM20 bilion yang diumumkan itu adalah pakej rangsangan keenam sejak 2020, menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM340 bilion.

Antara bantuan yang diberikan ialah peruntukan RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan kredit mikro melalui program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN, Majlis Amanah Rakyat dan SME Corp.

Selain itu, bantuan tunai sekali beri berjumlah RM1,000 untuk Geran Khas Prihatin 3.0 serta RM700 juta Kemudahan Automasi dan Digitalisasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pinjaman.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM) Datuk Azman Yusoff berpendapat bahawa strategi persatuan mengukuhkan perniagaan adalah untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk mereka yang bekerja di kawasan tapak dan perumahan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk pekerja di lokasi.

Menerusi PEMERKASA, kontraktor infrastruktur kecil terutama yang dalam kategori G1 hingga G4 telah mendapat manfaat daripada bantuan kerana jumlah peruntukan telah meningkat daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion.

“Kami perlu memastikan kerja-kerja kontraktor kecil seperti G1-G4 disegerakan kerana industri pembinaan negara sangat terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 kerana kebanyakan pekerjaan yang diberikan tidak dapat dilaksanakan,”

“Jadi lebih banyak peluang untuk penerokaan perniagaan baharu untuk kontraktor kecil melalui tender, pemberian langsung dan kaedah lain yang tersedia,” kata beliau.

Azman turut mencadangkan agar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengetuai isu berkenaan kerja di tapak lokasi dan pekerja menerusi sesi libat urus dengan pihak berkuasa yang berkenaan dan Menteri Kerja Raya.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

74  −  67  =