TV Pendidikan lebih efektif, kurangkan beban ibu bapa

 TV Pendidikan lebih efektif, kurangkan beban ibu bapa

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Rancangan Televisyen Pendidikan (TV Pendidikan) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) disifatkan lebih efektif dan mampu mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kemudahan pembelajaran secara online.

Dalam tinjauan Wacana.my, ibu bapa berbelanja antara RM300 hingga RM1,000 sebulan bagi memastikan anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian, atau online.

Shahril Tarmizi, 38, yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, dengan adanya TV Pendidikan beliau tidak perlu membazir masa dan wang bagi mencari alat peranti dan capaian internet untuk pendidikan anaknya.

Shahril Tarmizi

“Dalam kesempitan ekonomi dan sara hidup meningkat, program ini mampu melegakan hati ibu bapa serta memudahkan kerja anak-anak dalam sesi pembelajaran. Kadang kala pembelajaran secara online ini sedikit sukar kerana pencapaian internet yang tidak menentu selain perlu mencari alat peranti yang sesuai,” katanya.

Tambah beliau, pembelajaran melalui platform berkenaan akan membuat sesi pembelajaran menjadi lebih tersusun.

Sementara itu, Leanna Ahmad, 31, berkata kerjasama KPM dengan KKMM adalah sesuatu yang amat dihargai oleh semua ibu bapa.

Leanna Ahmad

“Pembelajaran seperti ini lebih efektif kerana televisyen akan menyediakan grafik yang mampu menambahkan kefahaman murid,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai kerani turut berkata bahawa siaran saluran yang ditawarkan adalah percuma kerana TV Pendidikan ini menggunakan saluran yang sedia ada.

“TV Pendidikan yang diperkenalkan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa malah memudahkan anak-anak dengan jadual saluran yang tersedia ada di laman web PKM,” katanya.

Sementara itu, Hassanul Abiddin Yusof, 39, berkata inisiatif mewujudkan kembali TV Pendidikan ini adalah tepat kerana ia adalah satu platform yang baik untuk pembelajaran di rumah.

Hassanul Abiddin Yusof

“Selain daripada menggunakan aplikasi Zoom atau Google Meet, platform ini amat bagus kerana penyiaran yang luas,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai seorang guru di SMK Taman Selayang turut berkata bahawa tiada kajian yang menyeluruh bagi mengkaji keberkesanan program berkenaan terhadap murid-murid.

“Walau bagaimanapun, kawalan dan disiplin dari ibu bapa dan murid itu sendiri amat penting agar inisiatif ini memberi kesan kepada murid dan mengelakkan dari keciciran.”

Sebelum itu, KPM dan KKMM bekerjasama untuk memperkenalkan slot Program TV Pendidikan sebagai inisiatif membolehkan murid mendapat akses bahan pelajaran melalui platform alternatif selain melalui ‘online’, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan lebih 90 peratus kediaman di seluruh negara memiliki televisyen, ianya akan membuatkan capaian rancangan program ini lebih meluas di kalangan murid.

Sebelum ini, TV Pendidikan ini tidak dibuat kerana ketika itu fokus pembelajaran adalah melalui talian atau ‘online’.

KPM juga kini memulakan kembali TV Pendidikan menerusi Astro Tutor dan Okey TV. Jadual di Okey TV ialah selama dua jam sehari dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 1.55 petang, manakala di Astro Tutor selama empat jam di saluran 601 dan 603. Di NTV7 pula sebanyak tiga jam sehari, Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, membuatkan keseluruhannya selama sembilan jam sehari.

PKM juga merancang untuk menambah bilangan program dan masa yang sedia ada.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  1  =