Tun M akui usaha kerajaan

 Tun M akui usaha kerajaan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Di dalam blog beliau semalam, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengakui bahawa kerajaan kini responsif terhadap masalah dan tekanan yang dihadapi rakyat akibat pendemik dan penutupan aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan, namun mengatakan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Selain memberikan pandangan kritikal beliau tentang usaha kerajaan memerangi wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, Mahathir turut mengakui bahawa kerajaan kini “mendengar dan sedang berusaha. Namun masih banyak yang perlu dilakukan”, sambil menambah “hanya golongan profesional yang banyak berpengalaman mampu memberikan idea bagi menangani kesemua krisis yang dihadapi”.

Pendapat beliau selari dengan pendekatan yang sememangnya diambil oleh kerajaan dalam menangani pandemik ini, di mana Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berfungsi mengatur strategi dan langkah mentadbir kerajaan ketika darurat kesihatan ini, dianggotai oleh pakar-pakar dari sektor kesihatan, keselamatan dan ekonomi, selain daripada pemimpin kabinet yang berkenaan.

Nasihat dan idea pakar-pakar ini menjadi tonggak kepada setiap keputusan yang diambil bagi memastikan negara dapat keluar dari krisis ini, dan rakyat dapat bangkit semula secepat mungkin, dengan menggunakan pendekatan dinamik dan berfasa yang mengikut keadaan semasa selain mengimbangi kesihatan dan keperluan ekonomi rakyat.

Ia jelas terbukti dengan perlaksanaan program vaksinasi yang semakin meluas dan pelbagai pakej ransangan ekonomi yang disalurkan bagi membantu setiap rakyat dan perniagaan bertahan menerusi tempoh yang sukar ini. Selain arahan dan kempen mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian COVID-19, program imunisasi melawan wabak itu kian rancak di seluruh negara, melibatkan jutaan dos vaksin, ribuan fasiliti dan tenaga kerja profesional, serta kolaborasi pelbagai sektor kerajaan, swasta dan masyarakat, manakala pelbagai bantuan berjumlah ratusan bilion ringgit menerusi pakej-pakej Pemerkasa dan Pemulih terus-menerus disalurkan.

Bekas Perdana Menteri itu juga memberi pendapat bahawa pengurusan pendemik “tidak begitu berkesan. Ianya semakin baik, tetapi lebih banyak boleh dilakukan dengan cara yang lebih mudah”. Pendapat, kritikan dan nasihat sebegini patut diambil dengan hati yang terbuka oleh kerajaan, yang senantiasa komited menambahbaik perlaksanaan program-program bagi memulihkan negara, dari segi pelarasan operasi, sistem dan teknikal, ataupun polisi, komunikasi dan keperluan tenaga kerja. Kejayaan usaha ini akan berjaya hanya dengan pendekatan bersama dan ikhlas untuk kesejahteraan rakyat, tanpa sikap partisan.

Tun Mahathir juga menyebut tentang usaha beberapa pihak yang asyik berpolitik untuk menukar kerajaan pada waktu sekarang. “Saya rasa kita memerlukan perubahan. Tetapi kemungkinan besar, kita akan mendapat satu lagi kerajaan yang lemah dengan majoriti yang amat tipis. Yang dibimbangi hanyalah tentang nak jadi Perdana Menteri – itu sahaja.”

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *