Tun Faisal harap UMNO semak semula gantung keahlian

 Tun Faisal harap UMNO semak semula gantung keahlian

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, berharap UMNO mempertimbang untuk menyemak semula hukuman penggantungan keahliannya selama enam tahun.

Tun Faisal menyuarakan harapannya kepada Panel Rayuan parti supaya dapat menilai semula justifikasi hukuman gantung keahlian bagi tempoh itu terhadapnya.

Mengikut sebuah laporan, Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah itu menghargai keterbukaan panel disiplin parti berkenaan kerana sudi mendengar hujahnya.

“Enam tahun pengantungan saya, besar mana kesalahan yang menyebabkan saya digantung selama enam tahun.

“Harapan saya agar panel rayuan ini melihat semula justifikasi hukuman enam tahun pengantungan, yang dikenakan pada diri saya adalah tak wajar,” katanya memetik Malaysiakini.

Faisal dikatakan bersemuka dengan panel rayuan parti itu pada Selasa lalu berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya tahun lalu.

Katanya, ia adalah susulan surat rayuan beliau kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan hujah pembelaannya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas diberikan surat tunjuk sebab, tahun lalu.

Keputusan menggantung Faisal diambil MKT UMNO, pada 8 Mac tahun lalu, atas alasan beliau melanggar tatatertib sebagai seorang ahli parti.

Penggantungan keahlian beliau juga dikatakan berikutan kelantangannya dalam mengkritik Zahid kerana tidak mahu meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid mengkhianati UMNO dengan menyokong langkah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau turut dilihat tidak sebulu dengan Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor apabila dilihat menjadi sasaran untuk diketepikan dari UMNO Putrajaya.

Sumber : Malaysia Now

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *