Tujuh tawaran transformasi mampu beri impak positif kepada negara

 Tujuh tawaran transformasi mampu beri impak positif kepada negara

Prof Dr Sivamurugan Pandian

KUALA LUMPUR, 11 Sept — Tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan mampu memberikan impak positif terhadap sistem Parlimen dan juga senario politik dalam negara.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata tawaran itu bukan sahaja memberi faedah kepada kerajaan tetapi juga pihak pembangkang yang berminat melakukan transformasi Parlimen.

Beliau berkata ketujuh-tujuh tawaran itu akan menyuburkan demokrasi iaitu terhadap institusi Parlimen yang menjadi teras demokrasi berperlembagaan dan juga pembentukan masyarakat madani, tadbir urus yang baik serta kepimpinan dalam negara.

“Bagi saya tawaran itu menarik untuk beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) teruskan kerana itu akan memberikan impak yang positif, bukan sahaja ke atas reformasi Parlimen tetapi bagaimana reformasi Parlimen itu juga akan membawa kepada reformasi parti politik.

“Itu (tawaran berkenaan) juga boleh menjadi batu loncatan kepada populariti Perdana Menteri sendiri untuk membina keyakinan dan kepercayaan jika sekiranya beberapa daripada tujuh (tawaran) itu dapat dibawa ke Parlimen dan sekurang-kurangnya dibentangkan,” katanya.

Sivamurugan berkata sekiranya tawaran itu tidak mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen, sekurang-kurangnya Perdana Menteri telah menjalankan tanggungjawab untuk membawa perkara tersebut ke Parlimen dan terpulang kepada perdebatan dalam kalangan wakil rakyat.

“Ini (tawaran tersebut) tidak semestinya terus diwartakan. Ada beberapa bacaan (di Parlimen), dan saya percaya kalau sekurang-kurangnya dibawa ke bacaan pertama pun dah cukup (untuk mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen),” katanya.

Kerajaan Persekutuan menawarkan tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Antara yang terkandung dalam tawaran itu meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, selain ahli parti pembangkang akan turut dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  3