Tujuh tahun misteri kehilangan MH370 tetap diingati

 Tujuh tahun misteri kehilangan MH370 tetap diingati

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Hari ini, 8 Mac, menandakan ulang tahun ketujuh kehilangan  misteri pesawat Malaysia Airlines MH370 yang lenyap ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bagaimana dan mengapa pesawat canggih Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dari pelbagai negara dan 12 anak kapal itu hilang tanpa dapat dikesan radar terus menjadi teka-teki hingga ke hari ini, di sebalik pencarian besar-besaran yang pernah dilakukan dalam sejarah penerbangan.

Mengenang pesawat malang itu, Bernama menemubual beberapa saudara terdekat mangsa di Malaysia yang menganggap pengakhiran pencariannya mengecewakan.

“Perasaannya sama seperti tujuh tahun lalu ketika saya berusia 17 tahun, … semuanya hampir sama tapi kami baik-baik saja,” kata anak perempuan ketua pramugara penerbangan itu, Andrew Nari.

Adik ipar ketua pramugari Goh Sock Lay, berkata keluarganya enggan lagi bercakap mengenai peristiwa itu kerana berasa sedih setiap kali mengimbau tragedi berkenaan.

Anggota keluarga penumpang juga sudah melupakan tragedi pahit itu dan tiada apa lagi yang perlu dibincangkan mengenainya.

Teori konspirasi mengenai insiden itu juga telah berkurangan. Teori, seperti rampasan dan laluan pesawat dialihkan ke pangkalan Tentera Amerika Syarikat di sebuah pulau di Diego Garcia, rampasan pesawat secara jarak jauh, dan sistem bencana atau kegagalan struktur kapal terbang – semuanya belum dapat dibuktikan.

Namun, flaperon pesawat yang terdampar di pantai Pulau Reunion setahun kemudian menunjukkan fakta Lautan Hindi adalah tempat penerbangan MH370 berakhir. Bagaimanapun, tidak ada cara untuk menentukan lokasi yang tepat di lautan seluas itu.

Australia, China, dan Malaysia mengakhiri pencarian bernilai US$150 juta di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi pada 2017. Selepas itu, kumpulan yang berpangkalan di Houston Ocean Infinity juga gagal mengesan pesawat tersebut dan pencariannya berakhir pada 2018.

Menurut Kementerian Pengangkutan pihaknya masih belum menerima bukti yang boleh diyakini untuk memulakan pencarian baharu. Selagi pesawat itu belum ditemui dan kehilangannya dirungkai, tragedi MH370 kekal menjadi misteri.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +    =  14