• Sunday, 20 June 2021, 2:19 pm

Tuduhan tunjukkan Anwar cetek pemahaman isu vaksinasi – Khairy

 Tuduhan tunjukkan Anwar cetek pemahaman isu vaksinasi – Khairy

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat tuduhan cetek, palsu dan tidak berasas berhubung pelaksanaan program vaksinasi di negara ini.

Beliau agak keliru dengan tuduhan Anwar menerusi satu video yang tular, kerana semua perbelanjaan dan perincian mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selaku badan bertanggungjawab untuk meneliti dan mengawasi perbelanjaan negara.

“Jadi, hari itu saya jemput Datuk Seri datang kepada taklimat Program Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan, untuk semua Ahli Parlimen di mana soalan-soalan terperinci telahpun ditanya, (tetapi) Datuk Seri tak datang.

“Dan hari ini Datuk Seri buat video yang tular yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas, yang palsu dan yang jelas menunjukkan kecetekan pemahaman Datuk Seri berkenaan isu ini,” kata Khairy juga menerusi video bagi memberikan pencerahan kepada isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang itu.

Khairy turut menafikan tuduhan Anwar yang menyatakan syarikat Pharmaniaga Bhd  (Pharmaniaga) memonopoli urusan pembelian dan pembekalan vaksin COVID-19 di negara ini.

“Tuduhan Datuk Seri Anwar yang mengatakan bahawa semua pembelian dibuat melalui syarikat Pharmaniaga termasuk Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca adalah tidak benar sama sekali. Pembelian Pfizer dibuat melalui syarikat Pfizer Malaysia, pembelian AstraZeneca dibuat melalui dua kaedah.

“Satu ialah kemudahan COVAC yang dikendalikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan yang kedua terus melalui AstraZeneca Malaysia. Jadi tuduhan yang menyatakan bahawa segala-galanya melalui Pharmaniaga adalah tidak betul,” katanya.

Beliau menegaskan, Pharmaniaga hanya mengendalikan pembelian melalui syarikat Sinovac.

“Perkara ini adalah perkara yang sangat-sangat asas yang telahpun saya telah saya jelaskan beberapa kali termasuklah kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara ataupun PAC di mana ada wakil dari parti PKR dan juga semua parti yang ada di situ. Jadi itu adalah satu tuduhan yang palsu, yang tidak benar dan saya harap dapat diperbetulkan,” katanya.

Khairy menjelaskan, keutamaan pembelian ketika ini adalah untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan semua perolehan Kerajaan Persekutuan mestilah didahulukan.

Selepas itu, sesiapa yang ingin membeli daripada mana-mana syarikat vaksin yang telah menerima kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),  adalah bebas untuk melaksanakannya. Pengimport juga tertakluk dengan ‘product resgistration holder’ kerana itu ditetapkan oleh undang-undang.

“China ada vaksin yang lain. Contoh, China ada vaksin Sinopharm dan sekarang ini ada beberapa pihak tempatan yang ingin mendaftar vaksin Sinopharm dan kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai keupayaan dan juga maklumat data klinikal untuk mendaftarkan vaksin Sinopharm dengan NPRA. Itu tidak perlu melalui Pharmaniaga,” katanya.

Khairy juga memberitahu, sektor swasta sudahpun mula berbincang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhubung pelaksanaan vaksinasi di peringkat syarikat di atas pembiayaan sendiri.

“Apabila kita memulakan program vaksinasi bagi fasa tiga iaitu rakyat keseluruhan, kita juga akan buka vaksinasi kepada industri. Ini juga akan dipercepatkan dengan kerjasama syarikat-syarikat besar yang akan terlibat dalam program imunisasi.

“Walau apapun, saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri atas segala isu yang dibangkitkan tetapi sekali saya mengingatkan kepada Datuk apabila membuat sebarang tuduhan biarlah tuduhan itu betul, biarlah tuduhan itu berdasarkan kepada fakta, biarlah tuduhan itu ada asas. Jangan buat tuduhan yang tidak ada asas sama sekali,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *