Tubuh jawatankuasa khas tangani kenaikan harga barang

 Tubuh jawatankuasa khas tangani kenaikan harga barang

Che Zakaria melakukan tinjauan harga barang di Pasaraya Econsave, Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau harga barang melibatkan pelbagai pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, tujuannya bagi mengetahui punca sebenar kenaikan sayur dan bahan mentah lain sebelum melakukan langkah drastik bersesuaian bagi mengekang kenaikan harga sehingga 100 peratus ketika ini.

“Sebagai contoh jika harga sayur bukan import naik yang dibekalkan kerana kos baja dan racun, kerajaan wajar pertimbang untuk beri subsidi baja atau racun kepada pengusaha kebun. Siasatan juga perlu dilakukan melibatkan semua rantaian pembekalan makanan.

“Jika harga ayam naik kerana dedak, kita kena cari alternatif contohnya dengan membeli dedak dari negara lain yang mampu berikan harga berpatutan. Bagi jangka masa panjang, tanaman jagung dalam skala besar dalam negara untuk dijadikan dedak perlu difikirkan,” katanya selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasaraya Econsave, Taman Scientex, di sini hari ini.

Selain itu, KPDNHEP disaran melaksanakan skim kawalan harga dan menetapkan harga siling melibatkan 12 hingga 19 barangan utama, khususnya sayur import perlu diperkenal seperti yang dikuatkuasakan setiap kali menjelang musim perayaan.

“Selain itu, anggota dan penguat kuasa KDPNHEP perlu melakukan pemantauan harga dan operasi bersepadu dengan kerap terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar basah, pasar pagi dan pasar tani.

“Janganlah KPDHEP keluarkan amaran sahaja, kenakan kompaun terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan hukuman paling maksimum, ini termasuk gantung lesen perniagaan mereka.

“Peniaga juga diwajibkan letak tanda harga kerana tinjauan yang saya lakukan di pasar basah dan pasar raya di Pasir Gudang, peniaga tidak meletakkan harga barang dengan alasan takut pelangggan lari,” katanya.

KPDNHEP juga dicadang meletak anggota atau penguat kuasa di tempat tumpuan dengan pakaian preman bagi memantau para peniga yang ingkar dan terus mengeluarkan kompaun serta merta jika melakukan kesalahan.

Tegas beliau, sekiranya menteri dan timbalan menteri di kementerian terbabit tidak dapat menyelesaikan masalah harga barang, mereka wajar meletak jawatan dan memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih layak.

Kenaikan harga barang tidak sepatutnya berlaku, malah hingga kini gagal ditangani dalam keadaan aktiviti ekonomi dan rakyat yang baru sahaja bangkit daripada COVID-19.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  20