• Sunday, 20 June 2021, 9:40 am

Tuah ‘snowcap berhantu’, siswazah UITM kini raih hasil jualan jutaan ringgit

 Tuah ‘snowcap berhantu’, siswazah UITM kini raih hasil jualan jutaan ringgit

Che Nurul Hafizah Che Zulkifli, 28, menyusun koleksi tudung yang dijualnya ketika ditemui di butik By Chefiza miliknya di Lembah Sireh

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 22 Mei — Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu ungkapan sesuai yang boleh digambarkan terhadap seorang siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila usahanya memperkenalkan ‘snowcap berhantu’ sejak empat tahun lepas kini meraih pulangan mencecah jutaan ringgit.

Che Nurul Hafizah Che Zulkifli, 28, berkata beliau sama sekali tidak pernah menyesal mengambil keputusan beralih arah daripada bidang pengajiannya sebelum ini untuk menjadi pengusaha ‘snowcap’ atau anak tudung sejak 2017.

Mengimbau kembali detik memulakan perniagaan, pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan itu berkata beliau nekad berniaga secara kecil-kecilan di Uptown Pasir Tumboh, di sini, berikutan masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun menghadiri berpuluh temu duga pekerjaan, selepas hampir setahun menamatkan pengajian pada akhir 2015.

Che Nurul Hafizah (tengah) bersama suami Muhammad Fitri Abdul Razak, 28, (kiri) meneliti koleksi anak tudung dan tudung yang dijual

“Ketika itu saya hanya menjual beberapa barangan termasuk blaus, skirt, tudung dan snowcap (anak tudung) yang diperoleh daripada pembekal terdekat. Saya tidak sangka sambutan terhadap ‘snowcap’ sangat menggalakkan sehingga saya memutuskan untuk fokus menjualnya sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di butik By Chefiza miliknya di Lembah Sireh di sini.

Selepas hampir setahun berniaga di situ, Che Nurul Hafizah berkata beliau kemudian memutuskan untuk fokus berniaga secara dalam talian dengan menghasilkan anak tudung jenama sendiri sehingga mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggannya.

“Anak tudung yang dihasilkan diletakkan logo emoji seakan hantu memandangkan ada pelanggan yang mengulang pesanan beberapa kali sehingga mengatakan ia ‘berhantu’. Dari situ, saya mendapat idea untuk menamakan anak tudung ini sebagai ‘snowcap berhantu.

“Malah, saya turut mengetengahkan material berkualiti tinggi iaitu jenis sejuk, serap peluh, memeri lembut dan cantik ‘terletak’ selain ia tidak perlu digosok,” katanya menambah material itu diperoleh daripada pembekal luar negara dan dijahit sendiri di rumah selain ketika itu dia turut mula menawarkan khidmat jualan borong kepada ejen.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata beliau turut memutuskan untuk membuka butiknya di Lembah Sireh selepas tidak mampu menampung pengeluaran anak tudung di rumah selain mempelbagaikan produk keluarannya dengan menghasilkan tudung serta selendang segera.

“Alhamdulillah, kesemua keluaran terbabit sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan termasuk dari Thailand, Brunei, Mekah dan Singapura,” katanya.

Menurut Che Nurul Hafizah, beliau mampu mengeluarkan 200,000 helai anak tudung dan tudung hampir setiap bulan, yang dijual antara RM10 dan RM49 sehelai.

“Untuk mengoptimumkan pengeluaran, saya turut membuka sebuah kilang tudung sendiri di Pengkalan Chepa, sejak akhir tahun lalu, dengan dibantu hampir 60 tukang jahit bagi memenuhi permintaan hampir 9,000 ejen membabitkan enam cawangan di seluruh negara,” katanya yang turut dibantu suami, Muhammad Fitri Abdul Razak, 28.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *