Trend guna tenaga tak penuh dan mismatch makin ketara

 Trend guna tenaga tak penuh dan mismatch makin ketara
Oleh Dr Zulkiply Omar

 

KADAR pengangguran di Malaysia menunjukan peningkatan dengan kehadiran pandemik COVID-19. Tahun lalu mencatatkan kadar pengangguran 4.8 peratus dan merupakan yang tertinggi sejak tiga dekad lalu. Namun, ini tidak membimbangkan sangat kerana ia adalah fenomena biasa apabila ekonomi mengalami kemelesetan.

Keadaan ini biasa dikaitkan dengan kitaran perniagaan. Apabila ekonomi meleset, permintaan untuk pekerja akan menurun. Apabila ekonomi kembali tumbuh, permintaan untuk pekerja akan kembali meningkat. Kecuali pengangguran yang disebabkan oleh perubahan struktur yang serius. Dalam keadaan ini, pengurangan permintaan untuk pekerja adalah sesuatu yang kekal.

Namun demikian, perubahan struktur ekonomi tidak akan memberi kesan yang kekal terhadap kehilangan pekerjaan untuk sebuah ekonomi yang berkembang dengan sihat. Ini kerana penurunan permintaan pekerja untuk sesuatu sektor akan diserap oleh sektor lain. Umpamanya, apa yang berlaku di kebanyakan ekonomi maju, kekurangan permintaan untuk sektor pembuatan diserap oleh sektor perkhidmatan. Fenomena ini juga dilihat berlaku di Malaysia.

Di samping pengangguran, isu berkaitan pekerjaan yang perlu dibimbangkan sejak kebelakangan ini adalah underemployment. Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, underemployment diterjemahkan sebagai ‘guna tenaga tak penuh’ (GTTP). Seterusnya, saya akan menggunakan ungkapan GTTP untuk menjimatkan perkataan. Ia dikaitkan dengan keadaan di mana pekerja bekerja dengan jumlah jam yang sedikit berbanding dengan pekerjaan biasa. Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kategori ini termasuk mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu.

Pekerja yang bekerja di bawah tahap kepakaran atau skil mereka juga dianggap GTTP. Umpamanya, seorang graduan universiti bekerja sebagai buruh am. Sudah tentu dari perspektif pekerja tersebut, ianya memberi tekanan psikologi dan emosi. Ini akan memberi kesan kepada produktivitinya. Ia turut memberi tekanan kepada keluarganya. Maka, kesan ini memberi impak rantaian terhadap masyarakat.

Dari perspektif industri pula, GTTP memberi kesan serius kepada produktiviti. Sumber ekonomi tidak digunakan dengan optimum untuk proses pengeluaran. Ini akan memberi kesan negatif pengeluaran jangka panjang negara. Maka, kesan ini adalah berpanjangan bukan sekadar kesan semasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, trend peningkatan GTTP untuk kedua-dua kategori, yakni berkaitan masa bekerja dan juga skil. Untuk suku keempat 2020, lebih 533,000 pekerja bekerja kurang 30 jam seminggu. Jumlah ini adalah 2.4 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja. Malah, jumlah GTTP memuncak pada suku kedua 2020 menghampiri 790,000 pekerja atau 5.2 peratus dari keseluruhan tenaga kerja. Namun demikian, keadaan ini jelas dipengaruhi faktor pandemik COVID-19. Sebelum 2020, jumlah GTTP dari segi kekurangan masa bekerja direkodkan adalah kurang dari 400,000.

Apa yang lebih membimbangkan adalah trend peningkatan GTTP berkaitan dengan pekerja bekerja di bawah tahap skil mereka. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun sebelum pandemik CIVID-19 melanda negara. Jabatan Perangkaan melaporkan, pada suku keempat 2020 sebanyak 37.4 peratus pekerja dengan kelulusan di peringkat pengajian tinggi (tertiari) bekerja di bawah tahap skil mereka berbanding 32.5 peratus pada suku pertama 2018.

Peningkatan peratusan pekerja bekerja di bawah tahap skil mereka amat membimbangkan dan wajar diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Dasar yang sesuai perlu digubal supaya trend ini tidak berterusan.

Jika trend ini tidak dibendung, pertumbuhan produktiviti buruh yang kini sudah pun perlahan akan menjadi lebih serius. Pekerja berkelulusan universiti dengan skil yang tinggi tidak dapat untuk mempraktikkan kepakaran mereka. Dengan demikian, mereka tidak dapat meningkatkan lagi skil. Ini seterusnya memberi kesan terhadap pengeluaran negara, dan seterusnya pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan menjadi lembap.

Perlu diingat, latihan semasa bekerja adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan skil ke tahap lebih tinggi. Dengan sendirinya, pekerja yang bekerja di bawah tahap kepakaran mereka tidak dapat meningkatkan skil. Bahkan, skil sedia ada turut hilang lama kelamaan. Kehilangan ini adalah lompang yang sukar diganti. Pembangunan modal insan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Manakala bagi pihak majikan atau pengeluar, perkembangan ini tidak memberi tekanan kepada mereka untuk meningkatkan pembangunan teknologi. Kesannya, pasaran buruh sentiasa terperangkap di dalam apa yang sering disebut ‘mismatch’ . Yakni, ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran buruh. Majikan mengatakan pekerja tidak mempunyai skil yang setimpal dengan apa yang dikehendaki. Manakala pekerja pula, tiada peluang untuk meningkatkan skil mereka kerana tidak diberi peluang untuk bekerja.

Kementerian Kewangan di dalam ‘MOF Outlook 2020-2021’ juga melaporkan bahawa pada 2019, peratusan graduan yang bekerja di bawah tahap skil mereka (graduate mismatch) adalah tujuh kali ganda daripada peratusan pengangguran graduan. Pada 2001, perbezaan tersebut cuma empat kali ganda. Pengangguran graduan berada di bawah paras 5 peratus setahun untuk tempoh 2001-2019. Manakala, graduate mismatch menunjukkan trend meningkat dari lebih kurang 12 peratus pada 2001 sehingga menghampiri 30 peratus pada 2019.

Jelas, kesan GTTP amat mendalam dan berpanjangan. Daya pengeluaran negara terperangkap di dalam situasi nilai tambah yang rendah. Ini seterusnya memberi kesan terhadap kemapanan pertumbuhan ekonomi. Tambah menyedihkan, negara telah memberi penekanan terhadap perkembangan pendidikan sejak awal kemerdekaan. Maka, kini sepatutnya adalah masa untuk meraih hasilnya.

Sebenarnya, terdapat juga kesan tersembunyi terhadap peningkatan potensi pengeluaran negara yang memburukkan lagi keadaan. Ia terhasil dari tenaga kerja yang hilang dari ekonomi negara melalui penghijrahan pekerja mahir warga negara keluar negara, atau yang dipanggil ‘brain drain’.

Selalunya, perkara ini melibatkan pekerja berkemahiran tinggi kerana mereka mempunyai kebolehpasaran yang tinggi di luar negara. Maka, kehilangan itu amat besar tanpa disedari. Kehilangan mereka tidak menurunkan produktiviti buruh secara langsung, sebaliknya menyebabkan ekonomi negara kehilangan potensi pengeluaran. Brain drain diketahui umum kian meningkat kini kerana kesukaran untuk mendapat pekerjaan yang setimpal untuk mereka, walaupun data sebenar bilangannya sukar didapati. Ini kerana tiada keperluan untuk melaporkannya.

Dalam pada itu, pekerja tidak mahir turut menerima tamparan secara langsung dari isu GTTP ini. Mereka terpaksa bersaing dengan graduan untuk pekerjaan yang sama. Ia sudah tentu diburukkan lagi dengan kehadiran buruh asing. Keadaan ini akan memberi tekanan sosial yang serius jika tidak dibendung.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd

(zulkiplyomar@econsult.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

94  −  91  =