Transkom diharap cetuskan penubuhan lebih banyak koperasi wanita

 Transkom diharap cetuskan penubuhan lebih banyak koperasi wanita

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom)  2021-2025 diharap akan mewujudkan lebih banyak koperasi wanita dan penglibatan golongan itu dalam pertumbuhan koperasi di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia menjadi antara cabaran besar kerana pada masa ini hanya terdapat kira-kira 200 atau 1.36 peratus koperasi wanita daripada 14,668 koperasi yang wujud di negara ini.

“Walaupun Gerakan Koperasi di Malaysia mencecah hampir 100 tahun, jumlah keanggotaan koperasi wanita hanya 18,750 dan hanya menyumbang hasil RM5.6 juta daripada berbilion hasil tahunan kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.

Justeru, beliau berkata sebuah jawatankuasa induk keusahawanan dan koperasi wanita telah ditubuhkan di bawah kementeriannya bagi melihat apakah kekangan seterusnya merealisasikan misi berkenaan.

TransKom yang dijadual dilancarkan pada 30 Mac ini adalah perancangan jangka masa lima tahun yang menggariskan matlamat dan langkah strategik komprehensif bagi memastikan gerakan koperasi dapat memberi manfaat lebih besar dan menyeluruh kepada kesejahteraan ahli dan masyarakat.

TransKom juga bermatlamat memastikan koperasi lebih berdaya saing, lestari serta mampan.

Mas Ermieyati berkata selain itu, misinya juga menjadikan impak model perniagaan tradisional kepada yang lebih sesuai seiring dengan teknologi terkini.

“Kita akan lihat bagaimana koperasi di negara-negara lain seperti di Jepun dan United Kingdom bagaimana semangat TransKom ini dapat mencapai misi yang kita gariskan,” katanya.

Pelancaran TransKom pada 30 Mac ini dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  10  =  17