Transformasi Parlimen, tempoh jawatan PM antara fokus Wan Junaidi

 Transformasi Parlimen, tempoh jawatan PM antara fokus Wan Junaidi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Transformasi Parlimen, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, memperkenalkan akta anti lompat parti dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang baharu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaik memulakan tugas secara rasmi, hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, secara peribadi transformasi Parlimen adalah perkara yang menjadi agenda utamanya dan untuk tujuan itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Negara dalam masa terdekat.

“Sebagai eksekutif, saya tidak boleh dengan sendiri membuat satu perubahan dalam institusi Parlimen. Oleh itu saya mesti berbincang dengan kedua-dua Yang Dipertua Dewan.

“Ini untuk mendatangkan perubahan kepada Parlimen Malaysia supaya ia sealiran dengan Parlimen Komanwel lain kerana negara kita mencontohi model pemerintahan Westminster,” katanya.

Wan Junaidi adalah pemimpin kanan dari Sarawak dan berpengalaman mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015-2018) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020-2021).

Beliau yang mula menjadi Ahli Parlimen pada 1990, turut pernah diberi kepercayaan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat (2008-2013) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (2013-2015).

Mengulas berkenaan MA63 yang membabitkan hak penduduk wilayah Sarawak dan Sabah, Wan Junaidi berkata, beliau akan memastikan pembabitan pelbagai pihak dalam sesi penjelasan supaya kefahaman masyarakat dapat diselaraskan.

Beliau yang menyertai banyak forum berkaitan MA63, berkata pemerhatiannya mendapati ramai yang mempunyai pendirian kurang tepat mengenai apa yang berlaku sewaktu perjanjian itu dibuat.

“Ini perlu diperbetulkan, kerana tidak adil kepada orang Sabah dan Sarawak kalau apa yang dijanjikan pada 1963 tidak direalisasikan sampai sekarang.

“Saya melihat ini adalah agenda yang besar tetapi dalam masa sama saya tidak boleh membelakangkan Kabinet dan perlu akur dengan tanggungjawab bersama itu.

“Dalam keadaan sedemikian, saya akan berbincang lanjut dengan Perdana Menteri sebelum saya memberikan komitmen dengan agenda yang saya nak buat,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan akta anti lompat parti juga akan dibawa berbincang dengan semua pihak, termasuk Ahli Parlimen kerana ia membabitkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Bagi saya, tempoh 10 tahun (dua penggal untuk Perdana Menteri) sudah cukup untuk meninggalkan legasi. Kalau Presiden Amerika (AS) dihadkan kepada dua penggal dan Filipina pula sepenggal, kenapa kita tak boleh buat perkara sama.

“Akta bagi menghalang lompat parti pula amat penting, malah saya sendiri turut mengalu-alukannya sejurus selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Sekiranya ada tawaran baharu dibuat nanti, janganlah pihak pembangkang menolaknya, ini bukan sikap yang jujur untuk menjadi pentadbir negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata, beliau juga akan mengkaji beberapa cadangan dibuat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada parti di luar kerajaan sebelum berundur baru-baru ini.

Pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin mencadangkan persefahaman rentas parti menerusi tujuh tawaran sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Antaranya, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik; penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion; Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal; membentangkan RUU Anti Lompat Parti.

Memperkukuhkan reformasi Parlimen; melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik; RUU Perbekalan dirunding dengan pembangkang serta ketua pembangkang diberi saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

40  +    =  41