Tragedi selipar: Dua rakan lemas jatuh sungai

 Tragedi selipar: Dua rakan lemas jatuh sungai

PASIR GUDANG, 15 Jan 2022 – Kegembiraan tujuh sahabat bermain di kawasan tebingan Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama di sini berakhir duka apabila dua daripada mereka lemas petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, selipar milik Sharif Mohd. Sharizan Sabri, 11, terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Anggota bomba menemukan dua mayat remaja yang lemas dalam sungai di Taman Masai Utama, Pasir Gudang, pada malam tadi.

Shariff kemudian cuba mengambil selipar sebelum hampir tenggelam dan Mohd. Ahlan Kiram, 14, cuba membantunya tetapi tidak berjaya.

Seorang daripada rakan mangsa, Mohd. Azmil Jamaludin, 13, juga cuba membantu dua rakannya, tetapi tidak berjaya.

Dia mendakwa turut hampir lemas, namun berjaya ditarik rakannya yang lain sebelum rakan lain bergegas meminta bantuan orang awam selepas kedua-dua mangsa hilang dalam sungai berkenaan.

“Kawan saya tarik kaki dan saya selamat, sebenarnya baru hari ini kami bermain bersama-sama di sungai ini kerana duduk di flat yang sama.

“Tidak sangka ia akan berakhir macam ini,” katanya ketika ditemui yang tinggal di Flat Taman Masai Utama.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang insiden tersebut pada jam 6.14 petang.

Menurutnya, seramai 14 anggota BBP Pasir Gudang dibantu unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu utiliti urvan dan dua jentera Rapid Rescue Vẹhicle (RRV).

“Mangsa dalam sungai berkedalaman hampir tiga meter. Mereka dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu.

“Mayat pertama telah dijumpai jam 9.18 malam pada jarak 15.24 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas dan mangsa kedua dijumpai jam 10.32 malam pada jarak 18.28 meter dari lokasi mangsa lemas,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi mencari mangsa dibantu orang awam dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis sebelum operasi tersebut tamat jam 11.59 malam. – ENDS

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

70  +    =  73