Tradisi etnik Pala’u rendam bayi dalam laut 

 Tradisi etnik Pala’u rendam bayi dalam laut 
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
SEMPORNA, 8 Mac – Etnik Pala’u atau Bajau Laut (Sea Gypsy) tinggal dalam perahu di perairan daerah ini dan antara tradisi mereka ialah bayi yang baru dilahirkan akan direndam ke dalam laut untuk membiasakan kehidupan di laut atau simbolik keserasian dan keberanian mereka dengan badai dan gelora di samudera.
Tembuni bayi itu juga akan ditanam di dasar laut sebagai satu adat resam dan kepercayaan bahawa ada penjaga roh laut yang akan melindungi mereka sebaiknya dan mereka tidak akan mati ketika menyelam di laut.
Jadi, tidak hairanlah pelancong asing terutama dari Korea Selatan, China dan England yang berkunjung ke daerah khususnya Pulau Mabul, Pulau Omadal dan Sipadan mengiktiraf etnik itu antara perenang dan penyelam paling mahir di dunia kerana mereka tidak perlu menggunakan alat pernafasan atau kemudahan skuba.
Mengikut Yuma Lente, 45, etnik Pala’u yang tinggal dalam perahu di perairan Pulau Mabul, akan naik ke darat di Pulau Omadal apabila isteri mereka mahu melahirkan anak kerana di sana ada bidan kampung yang mahir dan dipercayai masyarakat itu.

Katanya, sebaik bayi dilahirkan mereka akan kembali ke dalam perahu dan akan merendam bayi ke dalam laut dan biasanya ayah atau anak sulung lelaki akan mengapungkan diri di laut sambil memegang dan merendam bayi baru dilahirkan.

Penulis (kiri) menyelami kehidupan etnik Pala’u yang berlanuh
Bagaimanapun, beliau tidak pasti berapa lama bayi direndam kerana mereka tiada jam sebaliknya hanya berpandu kepada matahari untuk menentukan masa sama ada pagi, tengah hari dan senja.
Beliau dan isteri, Sannah, 35, dikurniakan empat anak iaitu Sapirah, Angina, dan Balente serta seorang belum diberi nama, masing-masing berusia dianggarkan dua bulan hingga 10 tahun ditemui Wacana.my di Kampung Musu, Pulau Mabul ketika naik ke darat menjual ikan yang dipancing di perairan Semporna.

“Biasanya bila bayi mula kesejukan kami akan bawa masuk ke dalam perahu. Semua anak saya melalui adat ini sebagai bukti mereka Pala’u tulen,” katanya yang mengakui tiada agama atau pagan, menerusi seorang jurubahasa dari Pulau Mabul dikenali Akramil Analin, 22, berbangsa Bajau dari etnik Simunul.

Kanak-kanak perempuan etnik Pala’u mengendalikan perahu bersendirian sejak berusia lima tahun.

Ketika ditanya, beliau berkata kemampuan etnik Pala’u menyelam sehingga kedalaman 25 meter tanpa menggunakan tangki oksigen dan mampu menahan nafas dalam air selama 15 minit
Yulma berkata: “Ia perkara biasa kerana laut adalah dunia kami dan kami boleh demam teruk kalau tinggal lebih dua hari di darat.”
Yulma mengakui etnik itu berpegang teguh kepada pantang larang nenek moyang mereka supaya tidak menetap di darat dan siapa melanggarnya, tidak hidup aman selama tujuh keturunan.
“Mungkin keluarga Pala’u yang tinggal dalam perahu semakin berkurangan hanya tinggal kira-kira 26 keluarga manakala selebihnya sudah tinggal dalam rumah dibina di atas air dan di darat.
“Hubungan kekeluargaan kami sudah terputus dengan saudara mara yang meningaalkan kehidupan dalam perahu kerana mereka melanggar pantang dan sumpah nenek moyang,” katanya.
Bagi Sapirah pula, selain mencari rezeki di laut, mereka akan naik ke darat untuk menukar hasil tangkapan seperti ikan dan sotong yang dikeringkan untuk ditukar dengan beras dan ubi kayu, selain air minuman.
Katanya, kehidupan dalam laut membolehkan mereka mahir mengejar pergerakan angin sehingga berkebolehan menadah pusaran puting beliung dan belalai air untuk mendapatkan air minuman.
“Anak-anak tidak dibenarkan bersekolah kerana ini menyebabkan mereka naik ke darat dan dikhuatiri tidak boleh hidup lama di sana. Biarlah mereka meneruskan tradisi tinggal dalam perahu,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

74  −  67  =