• Sunday, 20 June 2021, 2:05 pm

Total lockdown: Masa semua pihak berkorban – Lam Thye

 Total lockdown: Masa semua pihak berkorban – Lam Thye

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Semua pihak perlu berkorban pada saat yang sangat kritikal sekarang susulan keputusan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun ini berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 serta angka kematian disebabkan virus itu.

“Kita sudah sampai tahap dalaman yang kritikal. Jadi saya rasa kita tidak ada pilihan dan semua pihak sudah bersedia buat pengorbanan pada saat yang sangat kritikal ini,” kata aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menegaskan, jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera, kemungkinan besar Malaysia akan menghadapi masalah seperti di India, negara Latin Amerika dan negara lain yang berdepan dengan kes baharu serta kematian yang tinggi setiap hari akibat jangkitan COVID-19.

“Total lockdown adalah pilihan terakhir. Kita buat secara wajib. Akan tetapi dengan total lockdown ini kita boleh bayangkan implikasinya yang sangat serius dari aspek rakyat kehilangan rezeki untuk satu golongan yang besar iaitu peniaga dan pengusaha kecil, penggiat industri kecil dan sederhana, serta peniaga restoran dan premis F&B.

“Pekerja akan hadapi masalah terbesar dari segi punca pendapatan manakala tauke kedai menanggung kerugian yang sangat besar. Semua ini akan membawa kepada satu implikasi yang lebih meluas dan ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Wacana.my.

Lam Thye berkata, kesan teruk PKP penuh mulai Selasa ini juga akan dihadapi golongan B40 malah turut menjejaskan golongan M40.

“Masalah sekarang ialah bagaimana kita boleh menyara kehidupan dan menyediakan hidangan di atas meja makan untuk keluarga. Saya pun tidak tahu bagaimana kerajaan akan membantu secara automatik kerana tentu banyak permintaan daripada golongan B40.

“Mereka tentu meminta kerajaan mengembalikan Pakej PRIHATIN tetapi untuk melaksanakan pakej itu memerlukan satu perbelanjaan yang besar,” katanya.

Justeru, ini adalah tanggungjawab kerajaan dan mengenal pasti langkah terbaik untuk membantu golongan terlibat.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *