Tolak Ahmad Zahid bukan kerana kes mahkamah

SEGAMAT, 27 Jan 2022 – Penolakan rakyat Johor terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal sebagai Presiden UMNO adalah kerana mereka mahukan pemimpin yang telus dan tidak khianat kepada rakyat.

Mereka berpandangan penolakan itu bukanlah semata-mata isu salah laku rasuah dan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi miliknya yang masih berjalan di mahkamah mengikut undang-undang negara ini.

Apa yang rakyat mahu adalah kejujuran dalam melaksanakan tugas bukan sehingga menggadaikan keselamatan negara kepada pihak asing.

Rata-rata mengatakan, bukan isu ada rekod kes mahkamah tetapi elemen yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit seperti kesetiaan kepada parti dan rakyat bukan kepada duit.

Persahabatannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjadi tanda tanya serta khabar angin mengenai usahanya untuk menjatuhkan mantan Presiden UMNO sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, seorang pemimpin yang setia dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik lebi menjadi keutamaan dan pilihan bagi rakyat Johor.

Desas-desus mengatakan pembubaran DUN Johor yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri adalah kerana desakan rakyat yang mahukan kerajaan stabil, kukuh tanpa pengkhianatan agar dasar dan kepentingan rakyat dibawa ke hadapan.

Mereka mahu dipimpin oleh parti berdasarkan perjuangan rakyat tanpa terkait dengan mana-mana kes peribadi dan agendi diri semata-mata, sekiranya menang sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan, akan datang.

UMNO ketika ini dianggotai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diterajui Presidennya, Ahmad Zahid; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; selain Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Mahdzir Khalid, dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Ahli Parlimen Pekan, Najib mengambil langkah berani apabila melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO ketika terpalit dengan skandal 1MDB, tetapi terus berjuang untuk rakyat tanpa jawatan di kabinet.

Najib membuktikan tanpa kuasa dan jawatan, seseorang wakil rakyat masih mampu membantu golongan yang memerlukan, teraniaya dan kesusahan dengan menggunakan suara pemimpin.

Ia satu iktibar yang boleh diambil oleh mana-mana pemimpin termasuk Ahmad Zahid yang ketika ini diarahkan membela diri di Mahkamah Tinggi dengan berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan situasi ini semestinya sukar untuk memberi perhatian kepada usaha untuk pembangunan rakyat dan negara.

Beberapa nama pemimpin disebut sebagai orang yang layak menerajui UMNO termasuk Datuk Seri Ismail Sabri yang dilihat sebagai seorang yang teguh pendiriannya walaupun mendapat tekanan pihak pembangkang ketika mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ciri tidak mudah dipengaruhi dengan fitnah dan hasutan serta bijak membuat keputusan adalah ciri yang baik seorang pemimpin.

Tinjauan wartawan Wacana.my ke Johor mendapati segelintir rakyat mahu Ahmad Zahid ‘berehat’ sementara bagi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO.

Abang Ali, 56, berpendapat Ahmad Zahid wajar ‘turun’ daripada jawatan Presiden berikutan beberapa isu yang terpalit dengan dirinya boleh memberi kesan kepada usaha parti.

“Seorang pemimpin yang baik akan memberi laluan kepada orang baharu atau pemimpin sedia ada yang boleh meneruskan usaha mengukuhkan kestabilan parti.

“Jika dilihat masalah (kes mahkamah), rasanya dia (Ahmad Zahid) turun pun parti tiada masalah. Ganti dengan orang baharu yang boleh buat kerja, rekod baik, sebab macam dia sekarang ada banyak masalah, kes peribadi.

“Dalam majlis tertinggi (MKT) pun kalau boleh tak perlu ada,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi peniaga dikenali sebagai Muhammad, 68, menegaskan UMNO perlu terus kekal menjadi kerajaan yang memerintah Johor, tetapi secara peribadi memilih Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang lebih layak menggantikan Ahmad Zahid.

“Walaupun saya kurang maklum dengan perkembangan terkini Ahmad Zahid, namun sedikit sebanyak isu berkenaan dirinya (kes mahkamah Ahmad Zahid) sampai ke pengetahuan rakyat, menjadikan ada yang lebih layak menggantikan jawatan Presiden parti.

“Kalau boleh, ikut sokongan majoriti siapa yang layak (jadi Presiden). Pada pandangan saya, ramai memilih Tok Mat (Mohamad),” katanya

Bagi Radha, 60, walaupun tidak mengikuti perkembangan politik semasa, namun maklum mengenai isu pemimpin UMNO terbabit kes mahkamah seperti Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenainya kerana menyifatkan menentang pemimpin terbabit kes rasuah.

“Saya jarang dengan politik tetapi biasa dengar berita itu (Ahmad Zahid),” katanya yang tinggal di Segamat lebih 40 tahun lalu.