Tokoh pembentukan Malaysia meninggal dunia

 Tokoh pembentukan Malaysia meninggal dunia

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 7 Mac – Diberi amanah menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri adalah pengiktirafan besar kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Gilong, 88, yang meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Queen Elizabeth, di sini, semalam.

Pelantikan pada 1964 itu antaranya atas sumbangan besar Allahyarham kepada negara menerusi pungutan suara bagi mendapatkan sokongan rakyat Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia yang berjaya dicapai pada 16 September 1963.

Pungutan suara menerusi Suruhanjaya Cobbold diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cameron Cobbold.

Bagaimanapun, ketika menerima telegram supaya melaporkan diri secepat mungkin, bekas Ahli Parlimen Kinabalu (sekarang Ranau) meminta supaya diberi tempoh sebulan dengan alasan kerja di ladang buah-buahan milik keluarganya perlu diselesaikan, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Namun, Tunku Abdul Rahman hanya memberikan Allahyarham tempoh seminggu untuk melaporkan diri sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam, kemudian dilantik Menteri Kehakiman dan disusuli Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan.

“Saya tidak pernah memikirkan untuk dilantik sebagai Menteri sebab itulah selepas menjadi Ahli Parlimen Kinabalu, saya mahu fokuskan membela nasib rakyat, selain terus berkebun.

“Namun, selepas memikirkan kepentingan rakyat dan negara, saya menerima tawaran sebagai Menteri Persekutuan,” katanya dalam imbas kembali temuramah bersama penulis pada 2007 di sini.

Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Gilong bersalaman dengan orang ramai pada satu majlis ketika menjadi Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan beberapa pemimpin negeri termasuk Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam perkongsian menerusi akaun Twitter.

“Seorang daripada pemimpin awal era sebelum merdeka, Tan Sri Abdul Ghani Gilong meninggal dunia jam 12.12 tengah malam tadi,” katanya.

Cucu Allahyarham, Cheri Gilong Ayriett dan menantunya, Norman Radzuan menerusi catatan Facebook turut memohon orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Matan, Ranau adalah ahli politik dan negarawan berbangsa Kadazandusun dan seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia daripada Kerajaan Malaysia pada 2010.

Selain itu, Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri iaitu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussien dan dan Tun Hussien Onn.

Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, Allahyarham bersama Ketua Menteri pertama Sabah, Tun Fuad Stephens mengasaskan Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Bersatu (UPKO).

Sususlan pembubaran parti itu pada 1967, beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pimpinan Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya, beliau merasmikan pembukaan Lebuhraya Karak dan Terowong Karak sepanjang 900 meter yang menghubungkan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah, Pahang.

Terowong Karak adalah terowong lebuh raya pertama di Malaysia.

Allahyarham turut terbabit dalam pembinaan projek mega negara seperti kampus utama Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam dan Empangan Temenggor di Perak.

Beliau bersara dari arena politik selepas tewas dalam pilihan raya pada 1978 dan kembali menjadi peladang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  5  =