Tok Mat lupa ke dia pengerusi mesyuarat jemput Bersatu sertai MN? – Wan Saiful

 Tok Mat lupa ke dia pengerusi mesyuarat jemput Bersatu sertai MN? – Wan Saiful

BALIK PULAU, 6 Dis — “Dato Seri Utama Mohamad Hasan sudah berbunyi macam PH apabila berkata “Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat.

“Kalau piagam tidak mengikat, apa yang mengikat? Adakah firman Abang Long satu-satunya ikatan yang dia nak ambil kira?” soal Ketua Penerangan Bersatu,Datuk Wan Saiful berhubung kenyataannya berkaitan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional.

Wan Saiful berkata, Timbalan Presiden Umno yang dikenali ramai dengan panggilan Tok Mat adalah individu yang mempengerusikan mesyuarat yang memutuskan untuk menjemput Bersatu untuk memasuki Muafakat Nasional.

“Bagaimana boleh dipaksa … Bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput Bersatu, dan Presiden pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara?

“Bagaimana pula Tok Mat boleh kata bahawa UMNO dipaksa menerima Bersatu dan menerima Bersatu bercanggah dengan semangat MN?” katanya.

Wan Saiful turut berkata Piagam MN dilancarkan pada 2019 dan pada Ogos 2020 malah Presiden UMNO yang menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput Bersatu.

Katanya, susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tok Mat itu, satu surat jemputan kepada Bersatu telah ditandatangani oleh Presiden PAS dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos 2020.

“Bersatu kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari Bersatu ialah 18 Ogos 2020. Pada bulan Mac 2021 UMNO buat keputusan dalam Perhimpunan Agung untuk tolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama. Maksudnya UMNO sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya.

“Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk berkerjasama pada Ogos sebelum itu?

“Surat dah tandatangan, tapi siapa yang ubah?Kalau kita telusuri kronologi dengan jujur, siapa yang ikhlas dengan Piagam MN dan siapa yang langgar Piagam MN?” soal Wan Saiful terhadap Timbalan Presiden Umno itu.

Terdahulu Tok Mat mengatakan bahawa Muafakat Nasional tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjadi sebahagian daripadanya.

Malah katanya, salah satu sebab Muafakat Nasional itu dibidani kelahirannya adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH), yang mana Bersatu adalah komponen PH pada waktu itu.

Tok Mat juga berkata, sesiapa yang ingin menyertai Muafakat Nasional mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan Pas. Piagam Muafakat Nasional pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan Pas.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

79  +    =  85