TNG bakal lancar kad ciri baharu, lancarkan laluan tol

 TNG bakal lancar kad ciri baharu, lancarkan laluan tol

KUALA LUMPUR, 27 JAN 2022 – Orang ramai boleh menghela nafas lega apabila pihak Touch ‘n Go (TNG) bakal mengeluarkan kad versi baharu bagi memudahkan pengguna menambah baki secara mudah, melalui aplikasi e-dompet (TNG eWallet).

Kad baharu yang mempunyai ciri teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) itu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong berkata, kad Touch ‘n Go yang ada dalam edaran sejak 20 tahun lalu tidak mempunyai keupayaan untuk menambah nilai terus kad daripada eWallet.

“Ia kerana memerlukan pembaca kad khusus untuk benar-benar melakukan transaksi atas sebab-sebab keselamatan,” kata Ong ketika menghadiri perbincangan panel pada hari kedua Minggu MyFintech 2022, di sini.

Sementara itu, pada program sama, Pengarah Pembayaran Runcit Payments Network Malaysia (PayNet), Khairuan Abdul Rahman berkata urus niaga e-dagang menurun sedikit apabila sektor ekonomi dibuka semula dan lebih banyak perniagaan mula beroperasi secara fizikal, menjelang suku keempat 2021.

Beliau berkata, pendigitalan industri perdagangan dan pembayaran menjadi terlalu pesat dalam tempoh dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19 dengan pelanggan memilih kaedah pembayaran secara alternatif.

“Kami menyaksikan lebih 100 peratus pertumbuhan dalam Pertukaran Proses Kewangan (FPX), satu daripada platform untuk memudahkan transaksi e-dagang yang dikendalikan oleh PayNet pada 2020, dan lebih daripada 70 peratus pertumbuhan pada 2021.

“Memandangkan lebih banyak perniagaan membuka pintu mereka untuk transaksi bersemuka, saya berharap ini tidak bermakna kita kembali sepenuhnya kepada transaksi tunai atau sistem pembayaran digital yang terhad,” katanya.

Khairuan berkata, tingkah laku pengguna berubah secara drastik dan sama ada mereka akan kembali kepada transaksi tunai pasca-pandemik masih belum jelas.

Beliau berkata, PayNet perlu memerhatikan situasi itu selama beberapa bulan sebelum membuat kesimpulan, selepas itu syarikat akan dapat mengesyorkan cara untuk mengekalkan transaksi e-dagang sebagai bentuk pembayaran utama.

fhatihah Zakinan

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  39  =  43