TNB siap siaga hadapi banjir

 TNB siap siaga hadapi banjir

TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang elektrik bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal berkaitan pengurusan bencana banjir untuk musim tengkujuh kali ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata matlamat TNB adalah pengurusan bencana banjir yang lancar dan teratur setiap musim tengkujuh, bekalan elektrik yang selamat dan meminimumkan kerosakan pepasangan TNB di kawasan yang dinaiki air.

Sehubungan itu, TNB telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, menjalankan sesi latihan menghadapi banjir dan memastikan anggota kerja teknikal mereka berada dalam keadaan siap siaga.

Tambah beliau, set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal semasa operasi banjir seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah juga telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk siap sedia digunakan ketika musim tengkujuh.

TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

“Sejak banjir besar pada 2014, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir. Namun, jika ada pencawang elektrik yang masih ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera.

Wan Nazmy memberi jaminan Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air; menjauhi dari menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan renjatan elektrik; dan setelah banjir surut, mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis yang dinaiki air.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  5