TNB rugi RM220,521 angkara perlombongan haram bitcoin

 TNB rugi RM220,521 angkara perlombongan haram bitcoin

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Sebuah premis yang menjadi pusat perlombongan bitcoin secara haram di Taman Berjaya, Skudai, di sini dengan melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik diserbu pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dalam operasi bersepadu dijalankan bersama-sama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 170 mesin melombong bitcoin dan sebuah mesin pembekal tenaga.

“Berdasarkan siasatan dibuat, premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB dan sambungan bekalan elektrik dibuat secara terus daripada kotak TNB ke premis berkenaan.

“Anggaran jumlah kerugian terhadap TNB adalah RM73,507 sebulan dan dalam tempoh tiga bulan sejak premis berkenaan beroperasi, jumlah keseluruhan kerugian TNB adalah RM220,521,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ayob Khan memberitahu, suspek yang ditahan berperanan sebagai penyelia premis tersebut dengan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

“Kegiatan membuat sambungan haram secara ‘bypass meter’ boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan dan gangguan bekalan elektrik pada premis berdekatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat terhadap harta benda milik TNB, manakala TNB turut mahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, sejak Januari hingga kini, sebanyak 33 serbuan melibatkan premis perlombongan bitcoin haram dengan sembilan suspek berjaya ditahan.

“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,673 mesin melombong bitcoin bernilai RM2 juta telah dirampas,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  14  =  23