Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
TMJ titah Southern Volunteers digerakkan bantu program vaksinasi di Johor

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mengambil maklum mengenai keresahan rakyat Johor berkaitan program vaksinasi COVID-19, lebih-lebih lagi dengan peningkatan mendadak jumlah kes positif harian serta kematian sejak akhir-akhir ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Baginda bertitah golongan belia juga harus memainkan peranan mereka untuk membendung penularan wabak COVID-19 ini.
“Salah satu cara adalah untuk menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), membantu menyebarkan berita yang disahkan mengenai vaksin, dan menggalakkan ahli keluarga serta rakan-rakan mereka supaya mendaftar untuk vaksinasi,” titah baginda.
Susulan itu Baginda menitahkan agar Southern Volunteers digerakkan bagi membantu program vaksinasi di pusat-pusat vaksinasi yang ditubuhkan di setiap daerah negeri Johor dari segi pendaftaran rakyat Johor untuk mendapatkan vaksin tersebut.
” Saya juga berharap sukarelawan Southern Volunteers dapat menggalakkan golongan belia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membendung penularan wabak COVID-19 ini,” katanya hari ini.
Baginda mendoakan semoga peranan Southern Volunteers yang digerakkan ini dapat dioptimumkan bagi membantu menjayakan program vaksinasi serta meningkatkan lagi keberkesanannya.