TMJ gesa pembinaan pusat transit gelandangan dipercepat

 TMJ gesa pembinaan pusat transit gelandangan dipercepat

JOHOR BAHRU, 6 Jul  — Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pembinaaan pusat transit gelandangan di Johor Bahru dipercepatkan berbanding cadangan asal ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Tunku Ismail berkata, pembinaan pusat itu disegerakan bagi membolehkan golongan berkenaan menjalani kehidupan dengan lebih terjamin.

Menurutnya, menerusi laporan baru-baru ini dianggarkan terdapat lebih 500 orang yang hidup gelandangan di bandar raya ini.

“Saya menitahkan agar pembinaan pusat transit gelandangan di Johor Bahru dipercepatkan supaya mereka yang hidup gelandangan ini dapat tempat tinggal yang lebih selesa dan bantuan dari segi makanan dan kesihatan dapat disampaikan kepada mereka.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, mereka yang hidup gelandangan ini adalah antara golongan yang paling terdedah dengan jangkitan kerana mereka terpaksa tinggal di tepi-tepi jalan atau di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tunku Ismail turut menggesa supaya rumah gelandangan sementara diwujudkan dengan segera.

“Dengan adanya rumah gelandangan sementara, maka risiko jangkitan akan menurun dan mereka juga dapat divaksinasi sambil diberi sokongan sepenuhnya untuk kembali ke kehidupan normal.

“Mereka juga manusia dan berhak untuk menjalani hidup yang bermaruah. Allah Peliharakan Sultan,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru memaklumkan kerja pembinaan Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di kawasan tanah lapang di Taman Larkin Perdana dijangka bermula pada Ogos ini dan siap pada Julai 2022.

Bangunan transit tersebut direka bentuk untuk menampung seramai 200 gelandangan dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan pondok pengawal dan hiasan landskap.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

98  −  93  =