Titisan air untuk dunia semakin sedikit, sumber mengering

 Titisan air untuk dunia semakin sedikit, sumber mengering

Oleh Mohd Kamal Ahmad

HARI ini, sambutan Hari Air Sedunia 2021 – Menghargai Air. Ia menagih kesedaran sejagat mengenai ertinya air kepada manusia, nilai sebenar air serta bagaimana kita mempertahan dan melindungi sumber penting ini. Setiap titis air tetap kompleks kerana air dikaitkan hampir semua yang ada di dunia ini. Air pra-syarat bagi penerusan kewujudan manusia, kehidupan serta kelestarian bumi ini.

Kita harus menginsafi, hanya 3 peratus air dunia adalah air tawar untuk kegunaan dan keperluan kehidupan lebih 9 bilion warga global. Tiga peratus adalah amat sedikit. Ini kerana kita perlu berkongsi air yang sedikit itu dengan sektor pertanian, industri, tenaga, bencana dan lain-lain kegiatan. Walaupun air meliputi 70 peratus ruang muka planet biru, hakikatnya ia adalah sumber yang semakin rare. Hari ini, 1.1 bilion penduduk dunia tiada akses kepada air, 2.7 bilion lagi menderita kekurangan air sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun, 2.4 bilion penduduk pula menghadapi masalah sanitasi sehingga terdedah kepada kolera, demam kepialu dan penyakit lain bawaan air.

Ada banyak fakta dan angka menakutkan mengenai status air global termasuk di Malaysia. Edisi 2020 Laporan Pembangunan Air Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWWDR 2020) bertajuk:  Water and Climate Change memberi fokus membantu komuniti air menangani cabaran kesan perubahan iklim. Ia memberi kesan keberadaan, kualiti dan kuantiti air bagi keperluan asas manusia, hak asasi manusia kepada air; serta isu sanitasi berbilion penduduk. Ubah suai kepada kitaran air turut mewujudkan ancaman kepada pengeluaran tenaga, keselamatan makanan, kesihatan manusia, pembangunan ekonomi, penurunan kemiskinan, serta menjejaskan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari.

Setakat ini, UNWWDR menghasilkan 11 laporan tahunan bagi tempoh 2003-2020. Ia merangkumi tema atau tajuk khusus dalam setiap laporannya. Sempena Hari Air Sedunia 2021, UNWWD Report 2021 – Valuing Water, akan dilancarkan hari ini.

Di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, banyak sistem air semakin terhimpit. Sungai, tasik dan akuifer batuan mengering atau terlalu tercemar untuk digunakan. Lebih separuh tanah lembap di dunia telah lenyap. Hal ini turut berlaku di kampung-kampung kita. Lihat anak-anak sungai di ladang-ladang kelapa sawit yang mengering dan sesetengahnya sudah tandus sama sekali. Pertanian menggunakan lebih banyak air daripada sumber lain dan membazir kerana ketidakcekapan. Perubahan iklim mengubah pola cuaca dan air di seluruh dunia, menyebabkan kekurangan dan kering di beberapa kawasan tetapi banjir di kawasan lain. Kita di Malaysia juga mengalami perkara serupa yang semakin ketara, kerap dan buruk kebelakangan ini.

Berdasarkan kadar penggunaan semasa, keadaan ini akan bertambah buruk. Menjelang 2025, dua pertiga penduduk dunia dijangka menghadapi kekurangan air dan ekosistem di seluruh dunia akan tambah memburuk, demikian pula inti pati laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Felo Utama, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo berkata, isu air di negara ini bukan disebabkan sumbernya tetapi banyak berkaitan dengan dasar, perancangan dan pengurusan bekalan air. Malaysia bergantung kepada sumber air permukaan yang datangnya dari hujan dan disimpan pada empangan di sepanjang sungai. Dianggarkan hanya kira-kira 5 peratus air hujan sudah mencukupi untuk bekalan air negara. Tetapi bagaimana, kita yang hidup dilimpahi air tetapi kehausan di musim hujan?

Beliau berkata, terdapat beberapa sebab utama bekalan air terganggu dari masa ke masa di negara ini. Pertama, pengurusan sumber dan bekalan air di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ada negeri yang mempunyai bekalan yang banyak, terdapat beberapa negeri mempunyai bekalan terbatas. “Sebagai contoh, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bergantung kepada bekalan air dari Selangor; Pulau Pinang bergantung kepada Kedah,” katanya yang juga Ketua, Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM).

Sebab kedua, katanya, negeri yang bekalan airnya terhad, maka setiap musim kemarau menyebabkan simpanan dalam empangan berkurangan dan ada masanya bekalan air terjejas. Ketiga, air dari empangan disalurkan ke loji pembersihan dengan menggunakan sungai. Apabila sungai tercemar, loji pembersihan air terpaksa ditutup. Ini yang menyebabkan krisis air berlaku beberapa kali di Lembah Kelang pada 2020 dan sebelumnya.

“Keberkesanan penyaluran air dari loji ke pengguna agak rendah adalah sebab keempat. Kehilangan air boleh mencapai hingga 30 peratus. Ini satu pembaziran yang perlu dikurangkan,” katanya.

Prof Dr Ibrahim menegaskan, memandangkan air adalah sumber asas kehidupan maka Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membekalkan air kepada seluruh warganya secara adil dan seksama. Ini termasuk keperluan mewujudkan dasar ‘bekalan air bersih untuk semua’ yang dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan.

“Banyak negara dunia mengamalkan ‘bekalan air percuma untuk semua’, tetapi negara kita menjadikan ‘air sebagai sumber komoditi’ dan diurus oleh syarikat swasta.

“Kerajaan negeri pula perlu meneroka sumber air tanah, khususnya air dari akuifer batuan sebagai sumber alternatif dan sumber utama di kawasan yang bekalan air permukaanya terhad. Sumber air ini lebih berkualiti, sukar tercemar dan bekalanya tidak terganggu oleh musim kemarau,” katanya kepada Wacana.my. 

 


“Kita masih boleh nampak bagaimana sikap sesetengah rakyat yang tidak menghargai air dan terus komited dengan pembaziran seolah-olah air itu percuma.”


 

Di luar sana, kita masih boleh nampak bagaimana sikap sesetengah rakyat yang tidak menghargai air dan terus komited dengan pembaziran seolah-olah air itu percuma. Contoh, perhatikan sesetengah individu membuka pili air secara maksimum di hentian R&R, surau dan masjid serta restoran sedang dia hanya perlu mengisi air dalam tadahan tangannya bukan baldi. Mendengar air yang keluar  mencurah-curah itu pun sudah pasti menyakitkan hati kita. Hendak ditegur, mungkin terjadi perbalahan. Jadi, antara langkah mengurangkan pembaziran itu ialah inovasi putaran buka pili air yang membolehkan air keluar pada tahap memadai sahaja.

Dasar pertanian mesra alam juga perlu diwujud dan diperluaskan. Kegiatan ini  terlibat dengan penerokaan tanah, penggunaan baja kimia dan semburan membunuh fungus dan serangga perosak yang semuanya menyumbang kepada serapan kimia ke dalam tanah.  Elemen kimia dan toksid itu kemudian dihanyutkan air hujan ke dalam sungai serta takungan bekalan air. Ia juga menjejaskan habitat dan ekosistem air. Pencemaran air terus saban waktu. Tiba masanya  pelan induk dan dasar baharu air negara digubal serta dipraktikkan.

Penggunaan air bekalan minuman penduduk untuk kegiatan lain juga mesti dihentikan sepenuhnya. Bekalan air untuk industri mesti dicari dari sumber baharu. Kegiatan meracun rumpai untuk membersihkan sistem perparitan dan saliran juga mesti dihentikan kerana ia turut membunuh hidupan di dalamnya.  Hampir 100 peratus penduduk Malaysia bakal tinggal dalam kawasan urban dan sub-urban menjelang 2030, maka kerajaan juga perlu ada dasar berkaitan pengurusan bekalan air yang lestari, pengurusan air kumbahan dan sanitasi yang cekap serta sistem mengurus buangan sisa dan pengurusan pelupusannya. Semua ini akhirnya akan dikaitkan dengan akses penduduk kepada air.

Ketika air semakin menyusut, di tempat lain di dunia pula air menjadi bencana khususnya banjir dan taufan. Kedua-dua fenomena ini juga dikaitkan dengan perubahan iklim yang berpunca daripada ‘tangan-tangan manusia’ yang merosakkan alam. Renung dan hayati firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41).

Penceramah bebas dan pakar falak, Ustaz Hanafiah Abdul Razak, turut mengingatkan manusia tentang wabak penyakit disusuli musim kering, kemarau dan kemerosotan bekalan makanan serta kebuluran dan peperangan yang semua berkaitan dengan air.

Katanya, sejarah penduduk di Tanah Arab pernah mengalami wabak pada 633 H, kemudian wabak itu melanda Syam, Mesir, Iraq, Syria dan Palestin pada 634 H.  Seterusnya pada 635 H berlaku kemarau yang menyebabkan Sungai Nil dan Sungai Eufrat hampir kering.

“Pada 636 H, krisis makanan berlaku sehingga penduduk berebut dan berbunuhan kerana seketul roti,” katanya sambil memberitahu keadaan diburukkan lagi dengan krisis kebuluran pada 637 H dan pada 638 H, Baghdad ditawan tentera Mongol.

Jadi, memang erti air berbeza kepada setiap orang mengikut latar belakang dan persekitarannya tetapi akhirnya ia tetap menjurus kepada satu matlamat iaitu kehidupan. Namun akhirnya, kesedaran, keinsafan dan penyertaan tiap seorang daripada kita untuk memanfaatkan serta melindungi air sebenar-benarnya. Dengan itu, barulah ia akan menjamin nilai sebenar setitis air untuk kehidupan kita semua. Sayangi alam dan alami akan menyayangi kita kerana itulah erti sebenar hubungan manusia dengan alam yang mesti berlaku secara adil, harmoni, lestari dan tiada pengkhianatan oleh manusia.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  −    =  17