Tipu ahli keluarga mati akibat COVID-19, lelaki dipenjara 3 tahun

 Tipu ahli keluarga mati akibat COVID-19, lelaki dipenjara 3 tahun

Mohd. Zahazan (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas pertuduhan memperdaya rakan sekerja untuk mendapatkan derma dengan mengatakan kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19.

KOTA TINGGI, 8 Sept — Seorang penyelia kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu rakan sekerja dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat COVID-19 untuk mendapatkan derma di Kompleks Bersepadu Pengerang, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd. Zahazan Zainon, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya memberitahu bahawa ahli keluarganya telah meninggal dunia akibat COVID-19 dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang pada jam 5.20 petang, 3 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja pada hari dan lokasi sama, jam 6.34 petang dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam bela tertuduh, Nurul Hidayah Mohd. Asri memohon hukuman lebih ringan kerana kesalahan itu adalah yang pertama dan tertuduh menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd. Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Normadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda dan satu sebatan bagi kesalahan pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda dan satu sebatan.

Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat COVID-19 dan didapati meraih sumbangan sejumlah RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berumur 45 tahun itu semalam selepas lelaki itu hadir ke Balai Polis Bayu Damai.

Petronas turut menafikan dakwaan suspek kehilangan 14 ahli keluarga akibat COVID-19.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

44  −  35  =