Tinggal di bandar tapi dapat elektrik dari generator

 Tinggal di bandar tapi dapat elektrik dari generator

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 10 April – Tinggal di bandar, tetapi masih bergantung kepada generator untuk mendapat bekalan elektrik di rumah mereka. Itu nasib kira-kira 30 keluarga di flat Taman Desa Kempas, di sini sejak kira-kira dua tahun lalu.

Itu realiti terpaksa mereka lalui bagi seorang penghuni, S Vijaya Letchumi, 45, bersama suami, P Ananthan, 49, serta dua anak mereka berusia lapan dan 11 tahun yang tiada pilihan sejak tinggal di situ pada 2018.

Suaminya membeli flat itu 22 tahun lalu itu dan mengambil keputusan menghuni projek terbengkalai itu selepas melihat beberapa keluarga tinggal di flat tersebut.

“Pada mulanya kami keberatan tinggal di flat ini memandangkan projek ini terbengkalai lebih 20 tahun lalu selain tidak memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Namun kami duduk di sini dengan menggunakan tenaga elektrik melalui pemasangan haram yang dibuat dari punca kuasa berhampiran. Namun pemasangan itu telah dipotong pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas mendapat tahu penyambungan dibuat,” katanya ketika ditemui di flat itu, di sini semalam.

Pada pertengahan 2019, mereka yang tinggal di situ terpaksa menggunakan generator untuk membekalkan tenaga elektrik bagi menghidupkan lampu dan kipas.

“Memandangkan tenaga yang dihasilkan juga terhad, saya tak dapat untuk menggunakan peti ais, pengisar elektrik dan televisyen. Generator itu pula hanya digunakan pada sebelah malam sahaja,” katanya.

Vijaya juga terpaksa menguruskan anaknya dalam keadaan serba kekurangan dan bersendirian kerana suaminya yang bekerja sebagai pemandu masih berada di Singapura ketika ini.

“Dalam keadaan suami yang masih di Singapura, saya terpaksa uruskan generator. Susah nak hidupkan generatordan  kena tarik kuat-kuat sampai sakit tangan saya, darah tinggi pun sudah naik.

Vijaya Letchumi menghidupkan generator bagi mendapatkan bekalan elektrik untuk kegunaan rumahnya di flat Taman Desa Kempas, Johor Bahru, semalam

“Masalah penggunaan elektrik juga menyebabkan saya terpaksa pergi ke pasar lebih kerap setiap minggu kerana bekalan makanan seperti ikan dan ayam tidak boleh disimpan disebabkan peti ais tidak berfungsi.

“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak juga terjejas. Keadaan tidak ada elektrik ini menyebabkan anak-anak sudah lali tidak menonton televisyen sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Shafuan Hamzah, 24, pula membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membeli minyak diesel dan minyak pelincir bagi menghidupkan generator.

Dia yang tinggal bersama-sama lima ahli keluarganya termasuk seorang anak saudara, bergantung dengan tiga mesin generator yang dibeli dengan harga kira-kira  RM1,000 setiap satu untuk kegunaan harian.

“Kami terpaksa berjimat menggunakan generator ini. Pada sebelah pagi ia digunakan untuk menghidupkan mesin basuh. Kemudian digunakan sebelah malam untuk menghidupkan lampu dan kipas.

“Kami tidak boleh menggunakan generator ini terlalu lama kerana ia mudah rosak dan perlu kerap diservis. Setiap hari kami membelanjakan kira-kira RM30 bagi minyak diesel, itu tidak termasuk menukar plug minyak pelincir yang perlu ditukar dua kali seminggu,” katanya.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  47  =  48