Tindakan tegas ke atas Sugarbook dipuji

 Tindakan tegas ke atas Sugarbook dipuji

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR 19 Feb: Tindakan tegas pihak polis, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia terhadap peneraju Sugarbook harus dipuji.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU,  Mohd Taufik Yaacob berkata, tindakan tegas melambangkan ketegasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga akhlak dan maruah rakyat.

Mohd Taufik Yaacob

Beliau berkata, banyak pihak mendakwa laman web yang mempromosikan gaya hidup bebas itu dikhuatiri  bakal menjadi punca keruntuhan moral dan institusi keluarga di negara ini.

“Isu ini sebenarnya telah dibangkitkan sejak zaman Pakatan Harapan (PH) lagi tetapi PH gagal mengambil tindakan malahan membiarkan saja Sugarbook berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Untuk rekod, laman web Sugarbook mula mendapat kecaman netizen sejak isu papan iklan syarikat itu diletakkan di beberapa lokasi sekitar ibukota dua tahun lalu.

Menurut Mohd Taufik, PH semasa berkuasa seolah-olah tidak berminat menjaga agama dan kemuliaan adat resam di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Baling itu berharap kerajaan PN akan mengkaji sebab kenapa platform seperti Sugarbook menjadi begitu popular di Malaysia.

“Berdasarkan statistik yang diberi, 8 daripada 10 universiti yang disenaraikan sebagai mempunyai sugarbaby yang ramai adalah universiti swasta,” katanya.

Mohd Taufik turut mempersoalkan mungkin penglibatan  dalam sugarbook ini bukan disebabkan kos sara hidup tetapi lebih merupakan gaya hidup?

Beliau menyeru satu kajian menyeluruh mengenai punca gaya hidup seperti itu menjadi pilihan masa kini.

“Perlu dikaji kenapa sebenarnya sebegitu ramai anak muda kita terjebak dalam gejala ini,” katanya.

Mohd Taufik menyifatkan tindakan tegas yang telah diambil baru-baru ini perlu menjadi langkah pertama.

“Seterusnya kita mesti usahakan agar masyarakat kita secara keseluruhannya menjadi sebuah bangsa yang menyanjung tinggi akhlak mulia dan menolak maksiat yang berleluasa,”  katanya.

Selain itu Mohd Taufik berkata tindakan tegas tersebut turut menjelaskan lagi perbezaan antara PH dan PN.

“Kerajaan PH hanga mendiamkan diri dan membiarkan saja akhlak rakyat runtuh, berbanding PN yang mahu memastikan negara kita sentiasa berada dalam kerangka yang mulia dan barakah,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

89  −  79  =