Tindakan tegas dikenakan sekiranya beriadah tanpa SOP – PDRM

 Tindakan tegas dikenakan sekiranya beriadah tanpa SOP – PDRM

PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai sekiranya didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan fizikal ketika beriadah di tempat awam. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan tindakan tegas terhadap orang ramai yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika beriadah di tempat awam terutamanya penjarakkan fizikal.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff erkata tindakan tersebut akan diambil sekiranya keadaan tidak dapat dikawal dan bilangan pengunjung terlalu ramai.

“PDRM menyedari keghairahan orang ramai untuk keluar beriadah di sungai, padang dan pantai terutamanya yang melibatkan warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Justeru itu, kita akan sentiasa membuat pemantauan dan hebahan dari masa ke masa dengan memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan penjarakkan sosial.

“Kita tidak ada rancangan untuk menutup tempat awam yang didapati sesak kerana kita telah menyemak dan kita mendapati bahawa pengunjung yang datang adalah daripada gelembung yang sama, cumanya kita akan tingkatkan pemantauan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bermula Jumaat lepas, kerajaan telah mengumumkan untuk memberi kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi termasuk berkelah dan bersukan.

Tular di media sosial beberapa video dan foto yang menunjukkan orang ramai bermandi-manda di sungai selain mengunjungi taman rekreasi tanpa penjarakan fizikal pada hujung minggu lepas.

Mengulas lanjut, Mastor berkata kebanyakkan pengunjung yang melakukan aktiviti riadah bersama ahli keluarga pada hari Sabtu dan Ahad dan menyebabkan kesesakkan berlaku.

“Jadi kami akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam Op Patuh untuk membuat pemantauan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  4